Itu reaksi pemandu teksi, Hanizan Mohamad Radzi yang dibebaskan oleh pihak polis setelah ditahan bagi membantu siasatan penculikan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di hadapan sebuah tadika, di Sungai Chua, Kajang dekat sini, Jumaat lalu.
Hanizan, 42, yang menemukan semula kanak-kanak itu mengakui kesilapannya tidak membuat laporan polis lebih awal berhubung penemuan kanak-kanak tersebut menyebabkan dia ditahan pihak polis sebagai salah seorang suspek dalam kejadian penculikan tersebut.
Namun, dia amat berharap masyarakat tidak memandang serong dan tidak berasa takut untuk memberi kerjasama kepada pihak polis.
“Saya tidak menyesal menolong kanak-kanak ini walaupun kemudiannya saya ditahan polis, masyarakat seharusnya bekerjasama dengan pihak polis,” ujarnya ketika ditemui di lobi bangunan mahkamah Kajang dekat sini.
Menurut pemandu teksi itu, sepanjang tempoh penahanannya, pihak polis telah memberi layanan yang baik kepadanya.
“Alhamdulillah. Syukur saya dibebaskan dan terima kasih kepada keluarga saya yang memberi sokongan,” katanya.
Menurut laporan akhbar, Hanizan menemui kanak-kanak itu merayau seorang diri selepas kira-kira lapan jam dia diculik sebelum menghantarnya pulang ke rumah keluarganya di Kajang.
Walau bagaimanapun, keesokan harinya, dia ditahan oleh pihak polis bersama-sama tiga lelaki lain bagi membantu siasatan berhubung kejadian penculikan itu.
Namun semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihak polis membebaskan Hanizan selepas siasatan mendapati dia tidak terlibat dengan penculikan tersebut.
Menurutnya, pemandu teksi itu dibebaskan dengan bon di bawah Seksyen 49 Akta Prosedur Jenayah.