4 Nov 2015

Langkah Proaktif Kerajaan Bina Pertahanan Ekonomi Negara Kembalikan Manfaat Kepada Rakyat

PUTRAJAYA, 2 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah proaktif kerajaan membina pertahanan ekonomi negara termasuk melalui pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi membolehkan ia dikembalikan kepada rakyat dalam Bajet 2016.
Beliau berkata faktor luaran seperti ketidaktentuan ekonomi global, penguncupan ekonomi khususnya China, kadar faedah Amerika Syarikat dan kejatuhan ketara harga minyak menyebabkan hasil negara berkurangan daripada sektor minyak dan gas sebanyak RM30 bilion.
Dalam situasi sedemikian seperti yang berlaku pada krisis kewangan Asia pada 1997, perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan mengurus dikurangkan.
“Kita dapat laksanakan (program-program) sebab kita mengambil langkah proaktif dan membuat pertimbangan tepat.
“Apabila kita pernajib3kenalkan langkah rasionalisasi subsidi dan GST, apa yang kita janjikan, kita pulangkan kepada rakyat,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2016 bertemakan ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’ pada 23 Okt lepas.
Pada perhimpunan bulanan berkenaan, Najib menggariskan lima tunjang utama yang terkandung dalam Bajet 2016 iaitu untuk memperteguh ketahanan ekonomi negara; meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau; mempersiaga modal insan; memperkasa agenda bumiputera dan meringankan kos sara hidup rakyat.
Najib meminta penjawat awam di semua kementerian dan agensi berkaitan melaksanakan tugas dengan memasukkan lima tunjang utama itu.
“Dengan cara ini, kalau bekerjasama dalam satu pasukan, maka kita mampu menghadapi apa jua keadaan, walaupun ombak bergelora, bahtera tetap menuju ke destinasi yang kita harapkan.
“Tingkatkan usaha dan produktivi, perkukuhkan jaringan kerjasama antara kita dan kementerian, pentadbiran dan dengan ini Malaysia akan lebih berjaya dalam apa jua keadaan,” katanya.
Dalam Bajet 2016, Najib mengumumkan pemberian khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam manakala 700,000 pesara kerajaan akan menerima bayaran khas RM250.
Najib juga mengumumkan kerajaan akan memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred dengan peruntukan RM1.1 bilion, dan kira-kira 10,000 pegawai lantikan ‘Perkhidmatan Kontrak’ yang berkhidmat sekurang-kurang 15 tahun dalam perkhidmatan awam akan dilantik secara tetap.