13 Nov 2015

Mohon Maaf Dan Tarik Balik Kenyataan Dalam Tempoh 24 Jam Atau Disaman – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini memberi kata dua kepada Ketua Cabang Keadilan Johor Bahru, Akmal Nasir dan The Malaysian Insider untuk menarik balik dan memohon maaf diatas kenyataan dan penyiaran berhubung dakwaan penyalahgunaan duit  Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dalam tempoh 24 jam atau menghadapi saman fitnah yang akan difailkan oleh beliau terhadap keduanya.
Menurut beliau dalam satu kenyataan akhbar hari ini, dakwaan tersebut merupakan satu fitnah jahat dan tidak berdasarkan fakta sebenar yang dilakukan untuk menjatuhkan maruah dan kredebiliti beliau sebagai individu dan menteri yang bertanggungjawab terhadap YPEIM.
“Segala dakwaan yang dilontarkan oleh Akmal dan disiarkan oleh portal berita Malaysian Insider merupakan satu fitnah jahat yang tidak berasas untuk menjejaskan imej dan kredebiliti saya sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap YPEIM.
“Dakwaan saya menyalahgunJamil-Khirakan duit anak yatim dan orang miskin merupakan satu tuduhan dan fitnah yang berat justeru itu, saya memberikan tempoh 24 jam terhadap Akmal dan The Malaysian Insider untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan serta penyiaran tersebut atau saya akan memfailkan saman fitnah terhadap keduanya,” demikian kata beliau dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Akmal Nasir yang juga merupakan Pengarah National Oversight And Whistleblowers (NOW), dalam satu kenyataannya mendakwa bahawa Datuk Seri Jami Khir Baharom telah menyalah gunakan dana dan wang YPEIM untuk kepentingan diri dan keluarganya.
Dalam satu sidang media,  Akmal mendakwa  seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menggunakan wang berjumlah RM410,978.56 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli-belah.
Selain itu, beliau turut menuduh bahawa program yang dianjurkan oleh YPEIM itu bersifat bersuka ria dan tiada langsung unsur amal jariah.
Berikut adalah kenyataan media penuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung isu tuduhan tersebut.
AKMAL MESTI MOHON MAAF ATAU DISAMAN
Merujuk kepada kenyataan media Akmal Nasir (Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) merangkap Ketua Cabang Keadilan Johor Bharu) pada 13 November 2015. Sesungguhnya  dakwaan yang mengatakan saya menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang (misleading) daripada fakta sebenar.
Kunjungan saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 – 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaan saya terutamanya YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di Amerika Syarikat dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada.
Melalui strategi penganjuran bersama secara “Strategi Lautan Biru” khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.
Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi Kenegaraan dan Keusahawanan; Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan, Pengurusan dan Isu-isu Semasa Negara; Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia. Program dan pertemuan ini melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, Amerika Syarikat.
Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.
Justeru dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabaran Perdana Menteri. Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya.
Adalah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya. Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan.
Tiada apa yang perlu  disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya.
Dengan ini, saya menuntut Akmal Nasir, Pengarah NOW dan The Malaysian Insider menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya.

sumber