15 Nov 2015

GAMBARAN LIM KIT SIANG SALAH, GANDINGAN NAJIB-ZAHID PALING MEMBAWA RAHMAT KEPADA ANWAR

Ketika Pertemuan Saya Dengan DS Najib di New York Baru-Baru Ini. Cerita Lanjut Di Sini
Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi gambaran di sini bahawa Tun Dr. Mahathir akan dimasukkan dalam jel bersebelahan dengan DS Anwar. Beberapa persoalan timbul. Pertama, adakah itu kemahuan sebenar Lim Kit Siang? Kedua, adakah Lim Kit Siang melihat Pakatan Harapan tiada kemampuan lagi untuk menjatuhkan DS Najib melainkan hanya gabungan Anwar-Dr. Mahathir? 

Mari kita berbicara dari sudut sejarah. Dalam sejarah UMNO moden, pada tahun 1998 DS Anwar dipecat oleh Tun Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Ramai generasi baharu lupa, bahawa musuh politik utama DS Anwar ialah Tun Dr. Mahathir yang diberi pelbagai gelaran dahulu seperti Maha Firaun, Kolusi, Korupsi dan Kronisme. Malah Anwar menuduh mereka yang bekerja mempertahankan Tun Dr. Mahathir sebagai anjing kerajaan, mossad dan sebagainya.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri hari ini, adalah rakan politik Anwar semasa di dalam UMNO dan tidak pernah bermusuhan sehingga sekarang ini. Sebab itulah, apabila DS Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Anwar boleh dirawat di luar negara ianya berbeza dengan respon pada zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri di mana Anwar hanya boleh dirawat di dalam negara.

Begitu juga, apabila kerajaan mendedahkan Anwar menikmati layanan VIP di dalam penjara ianya berbeza dengan layanan Anwar di dalam tahanan ISA pada tahun 1971 (sila baca buku Dr. Syed Husien Ali) dan layanan Anwar di dalam penjara pada tahun 1999-2004. Terbukti, Anwar menikmati layanan kebajikan yang amat baik di dalam penjara semasa Pak Lah dan DS Najib menjadi Perdana Menteri.

Lim Kit Siang dan sesetengah pemimpin pembangkang memberi gambaran yang salah apabila berbicara isu Anwar. Mereka memberi gambaran seolah-olah Anwar dipenjarakan oleh Najib dan Anwar boleh dibebaskan oleh Najib. Gambaran ini tidak betul. Najib bukan ketua hakim, bukan peguam bela dan bukan pendakwa raya. 

Dalam temuramah Peguam Negara di sini, jelas menyatakan beliau tidak pergi bertemu Perdana Menteri untuk menerima arahan atau bertanya sama ada boleh atau tidak mendakwa atau membebaskan seseorang. Tugas Peguam Negara sangat jelas iaitu mempertahankan kedaulatan undang-undang negara.

Hakikatnya, Anwar telah menyediakan peguam-peguam terhandal di dalam negara dalam kesnya. Selepas rayuan demi rayuan di pelbagai peringkat mahkamah, akhirnya Anwar didapati bersalah.  

Bagaimanakah kerajaan boleh membantu Anwar di dalam penjara? Dari aspek kemanusiaan, politik matang, persahabatan dan persaudaraan Islam, Anwar telah dibantu dari segalasegi. Penerangan di sini sangat-sangat jelas. Ianya ternyata layanan bersifat VIP.

Namun begitu, negara kita mempunyai undang-undang yang mesti dihormati dan diakuri. Oleh itu, mana-mana NGO luar negara tidak mempunyai hak untuk campurtangan di dalam kerangka kedaulatan negara kita. Presiden Barrack Obama sendiri sudah menjelaskan perkara ini semasa majlis bersama pemimpin-pemimpin muda Asia baru-baru ini.

Namun begitu, apabila anda melihat perkembangan kerajaan sekarang ini, saya pesimis awan mendung akan berarak. Lebih lanjut sila dapat buku yang sangat menarik ini

Kesimpulan
Kesimpulannya, gandingan Najib-Zahid adalah gandingan yang paling memberi rahmat kepada Anwar. Inilah sebabnya Najib diserang bertubi-tubi.

Malahan, ada ahli parlimen UMNO meminta supaya saya menyampaikan kepada DS Najib supaya membawa semula Anwar masuk ke dalam UMNO untuk menguatkan Islam dan Melayu.

Selamat Berhari Minggu.
Down Town, Drexel.
USA.

November 14, 2015.