18 Nov 2015

GST Elak Peniaga Sembunyi Maklumat Hasil Perniagaan – Johari


KUALA LUMPUR, 18 Nov – Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April lepas membolehkan kerajaan mengutip lebih cukai berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata menerusi pelaksanaan GST sebanyak enam peratus, para peniaga tidak lagi boleh mengelak atau tidak memberikan maklumat sebenar berkaitan hasil jualan mereka.
“Berdasarkan rekod, sewaktu kerajaan mengenakan SST sebanyak 10 peratus, sebahagian peniaga tidak membayar SST sepenuhnya kerana susah hendak dikesan berdasarkan jualan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa berkaitan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Beliau berkata impaknya kini ialah banyak cukai yang dahulunya tidak diperolehi kerajaan, kini dapat dikutip daripada peniaga.
“Bila laksanakan GST, dari situ nampak peningkatan kutipan (cukai) di mana syarikat yang dulu misalnya bayar RM300,000 sekarang bayar RM500,000,” katanya.
Johari berkata kenaikan harga selepas pelaksanaan GST antaranya berpunca daripada masalah yang timbul di peringkat peniaga.
Dalam pada itu, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang menjalankan penguatkuasaan yang rapi bagi memastikan tiada barang sifar GST dikenakan cukai tersebut.
Beliau berkata tindakan peniaga yang mengenakan GST ke atas barangan dan perkhidmatan sifar cukai akan memberi lebih tekanan terhadap masyarakat.
“GST adalah cukai kepenggunaan (consumption tax) ia akan merangkumi lebih banyak barang (berbanding SST), tapi rakyat bawahan yang perlukan bahan asas tidak akan terjejas.
“Kalau tengok barang asas sebagai normal citizen, sama ada kaya atau miskin, yang itu sifar cukai,” katanya.
Sumber