18 Nov 2015

“Tahniah” Pembangkang Kerana Berjaya Menipu Diri Sendiri Dalam Usul Tolak Bajet

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairul Azwan Datuk Harun mengucapkan ‘tahniah’ kepada pembangkang kerana berjaya memalukan dan menipu diri mereka sendiri di Parlimen pada sesi pengundian Bajet 2016 yang baru lalu.
Menurut beliau apa yang berlaku dan keputusan pada pengundian Bajet 2016 itu bukan sahaja menunjukkan satu testimoni awal kepada kekuatan kerajaan yang ada hari ini malah melambangkan kegagalan pembangkang dalam menjayakan mainan politik mereka sendiri.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan dan tahniah juga kepada pihak pembangkang kerana memalukan diri mereka sendiri kerana apa yang mereka buat sebelum ini adalah sia-sia dan hari ini kita perlukan bajet yang boleh dilaksanakan secara berkesan.
“Keduanya ini adalah testimoni yang kuat melambangkan sokongan yang ada kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan barisan kabinet. Hari ini terbukti mainan politik mereka dalam soal bajet ini gagal dan mereka sepatutnya cerminkan apa yang mereka war-warkan.bajett undi
“Malah memperlihatkan di kalangan mereka juga tidak ada kesatuan dalam menjayakan apa yang mereka canang dan war-warkan sebelum ini,” katanya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Sebelum ini, seramai 128 anggota parlimen bersetuju rang undang-undang itu diluluskan bagi ditetapkan untuk bacaan berikutnya, berbanding 74 yang menolak melalui undian belah bahagian.
Menjelang hari pengundian Bajet 2016, pelbagai kenyataan dan pelbagai mainan politik dilontarkan oleh pihak pembangkang dalam usaha menimbulkan pelbagai persepsi terhadap bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas lebih lanjut Khairul Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya memberikan ingatan supaya pelaksanaan Bajet 2016 itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin tanpa gangguan untuk kepentingan rakyat.
Katanya rakyat sudah pasti mahukan pelaksanaan yang cukup berkesan hasil dariapda bajet berkenaan yang dianggap menyeluruh itu.
“Secara peribadi kita melihat bajet ini adalah bajet menyeluruh dan bajet yang ambil kira keperluan pelbagai pihak. Bajet yang diluluskan di peringkat Parlimen adalah intipati kejayaan pengurusan sesebuah negara  dan sekaligus boleh melenayapkan mainan politik pembangkang,” katanya.-MediaUMNO