KUALA LUMPUR, 1 Dis – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan taktik pembangkang yang cuba memburukan imej kerajaan dan jabatannya dengan melontar persoalan yang lebih menjurus kepada tuduhan dan fitnah terhadap kerajaan.
Sebagai contoh kata beliau, dalam isu baru-baru ini yang melibat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) di mana pihak pembangkang telah membuat sidang akhbar berhubung isu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggunakan wang YPEIM untuk diri dan keluarganya dalam satu program YPEIM di luar negara baru-baru ini.
“Dalam sidang akhbar itu, mereka sebenarnya bertanyakan soalan kepada YPEIM dan Menterinya, namun cara dan gaya mereka melontarkan soalan itu seolah-olah ianya satu tuduhan, di mana kemudian isu tersebut diviralkan seolah-olah Datuk Seri Jamil Khir sebagai Menteri yang menjaga YPEIM benar-benar bersalah melakukan perbuatan tersebut.
“Ini merupakan satu taktik pembangkang untuk mengelirukan rakyat serta membina persepsi negatif di pemikiran rakyat biarpun isu tersebut tidak benar sama sekali. Mereka sengaja melontarkan soalan berhubung maklumat yang mereka perolehi dalam bentuk tuduhan untuk mengelirukan rakyat samada ianya benar atau tidak,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Biarpun sudah beberapa kali pembangkang di heret ke mahkamah dan didapati bersalah kerana tuduhan liar dan jahat mereka terhadap kerajaan, namun pembangkang tidak pernah serik dan terus mengamalkan taktik politik yang keji dan tidak bermoral seperti itu,ujarnya.
“Kalau kita masih ingat, dulu pembangkang dulu pernah dipernah kalah dalam kes tuduhan mereka yang mendakwa Felda dan kerajaan menjual minyak sawit kepada sebuah syarikat Israel. Ternyata tuduhan itu tidak benar dan ianya fitnah semata-mata.
“Begitu juga dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana memfitnah Datuk Seri Raja Nong Chik. Perkara yang sama berlaku dalam kes ahli parlimen Batu yang juga Naib Presiden PKR, Tian Chua yang memfitnah kerajaan mendalangi tragedi Lahad Datu juga akhirnya terpaksa memohon maaf kepada UMNO dan kerajaan.
“Dan kes yang terbaru pemimpin pembangkang yang didapati bersalah kerana memfitnah ialah bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin yang akhirnya terpaksa memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah beliau didapati bersalah oleh mahkamah,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu meminta agar rakyat di negara ini berhati-hati untuk menyebarkan segala maklumat yang diperolehi mereka di dalam media sosial, khususnya informasi yang datang dari pihak pembangkang.
“Pembangkang ini tidak ada kerja lain selain melontarkan tuduhan melulu biarpun maklumat yang mereka perolehi itu tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya. Tindakan mereka menuduh kerajaan dengan kenyataan berbentuk soalan itu mereka viralkan di media sosial dengan niat untuk menimbulkan syak wasangka dan tanggapan negatif rakyat terhadap kerajaan.
“Amalan yang dilakukan oleh pembangkang yang menggunakan sumber-sumber tidak sahih untuk menghentam kerajaan ini bagi saya tidak rasional dan tidak profesional. Pembangkang sepatutnya lebih berintergriti dengan meneliti dulu sebarang maklumat yang mereka perolehi sebelum membuat tuduhan kepada mana-mana pihak sekalipun,” akhiri beliau.-MediaUMNO