28 Apr 2016

Dakwaan Negara Bangkrap, Ekonomi Merudum Sekadar Lagu Lapuk Yang Diulang-ulang




IPOH, 28 April – Barisan NGO Negeri Perak mengecam tindakan pihak pembangkang yang berterusan cuba menakut-nakutkan rakyat dengan dakwaan bahawa negara akan bangkrap, ekonomi bertambah teruk dan sebagainya, sedangkan hakikat sebenar ialah pertumbuhan ekonomi negara bertambah baik biarpun dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar hari ini.
Pengerusinya, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar berkata, tindakan pembangkang yang menyebarkan fitnah dan dakwaan yang tidak benar berhubung ekonomi negara bukan sahaja menimbulkan rasa khuatir di kalangan rakyat, tetapi lebih buruk apabila ia menyebabkan para pelabur luar merasa tidak yakin untuk melabur di negara ini.
Ekonomi-Malaysia“Bagi saya tindakan pembangkang seperti itulah yang merosakkan kesuburan ekonomi negara. Sejak sekian lama, mereka cuba timbulkan sangkaan dan persepsi kepada rakyat mahupun pelabur luar negara bahawa ekonomi Malaysia semakin teruk dan menggambarkan seolah-olah negara mahu bankrap.
“Isu  negara akan bankrap yang didendangkan oleh pembangkang ini bukan perkara baru, tetapi ianya sudah lama dinyanyikan oleh mereka, dan sehingga hari ini mereka masih menyanyikan lagu dan lirik yang sama, sedangkan fakta sebenarnya ialah ekonomi negara sedang mencatatkan penumbuhan yang baik biarpun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.
“Kita dapat lihat hari ini, ringgit yang dikatakan oleh pembangkang akan terus merosot teruk dan sukar untuk dipulihkan kononnya akibat ketidakstabilan politik, kini sudah kembali pulih dan mengukuh berbanding USD, mencapai tahap tertinggi 3.8650 pada 14 April lalu, sekaligus menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di rantau ini.
“Malah badan-badan ekonomi dunia juga berpandangan ekonomi Malaysia berpotensi untuk terus berkembang malah Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga memuji kita kerana berjaya terus mengekalkan prestasi yang baik, di sebalik persekitaran ekonomi global yang  masih tidak menentu dengan perdagangan dunia yang lembap, gangguan ekonomi di China serta pengukuhan berterusan mata wang dolar Amerika Syarikat,”tegasnya kepada UMNO Online di sini hari ini.
Beliau seterusnya menyeru rakyat di negara ini agar tidak mempercayai sebarang dakwaan yang mengatakan bahawa ekonomi Malaysia akan bertambah buruk seperti yang tersebar di dalam media sosial.
“Dakwaan pembangkang kebanyakkan meleset jauh daripada kebenaran apabila bercerita tentang ekonomi negara. Bukan hari ini, malah sudah bertahun-tahun mereka mengatakan Malaysia akan bangkap,malah mereka juga  mendakwa tahun ekonomi negara pada 2016 akan menjadi lebih teruk, namun seperti biasa ternyata dakwaan mereka meleset.
“Begitu juga dengan dakwaan sesetengah pihak, ringgit hanya akan naik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib meletakkan jawatan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dan ia membuktikan bahawa apa yang didakwa oleh mereka itu hanyalah omong kosong dan tidak berpaksikan pada fakta sebenar.
“Jadi jelas terbukti apa yang mereka dakwa ternyata meleset sama sekali. Apa yang mereka lakukan itu hanyalah semata-mata bermotifkan politik untuk membina persepsi negatif terhadap kepimpinan negara demi kepentingan agenda politik mereka semata-mata,” ujarnya.-MediaUMNO