2 May 2016

BN Berpeluang Tawan Dua Tiga Kerusi Pembangkang Di Bandar – Abang Johari




KUCHING, 1 Mei –  Tinggal enam hari lagi berkempen sebelum pengundian 7 Mei, Barisan Nasional dilihat berpeluang menawan dua tiga kerusi di kawasan bandar yang dikuasai pembangkang.
Bukan itu sahaja, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata BN juga mempunyai harapan untuk menawan semula dua kerusi pembangkang di kawasan separa bandar.
Beliau, bagaimanapun, enggan menyebut nama kerusi–kerusi berkenaan.
Sehubungan itu, kata Abang Johari, calon-calon BN yang bertanding di kerusi-kerusi terbabit perlu bekerja lebih keras untuk mencapai matlamat tersebut.
“Jangkaan awal hasil daripada risikan yang dilakukan mendapati BN setakat ini boleh menang antara 68 hingga 70 kerusi, tetapi bilangannya mungkin bertambah menjelang hari pengundian,” katanya.
Abang Johari yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok  berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai gotong-royong perdana di Kampung No.3, Satok di sini pagi ini.
Katanya, peluang untuk BN meneruskan pemerintahannya di negeri ini amat cerah, sekali gus membolehkan kerajaan BN meneruskan agenda pembangunan negeri ini di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Pada pilihan raya negeri kali ini sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan termasuk 11 kerusi baharu. BN menang tanpa bertanding dua kerusi pada hari penamaan calon 25 April.