SABAK BERNAM, 12 Mei – Barisan Nasional (BN) telah bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata PRK itu dilihat amat penting untuk lebih menguatkan jentera parti secara keseluruhannya dan meninjau maklum balas anggota akar umbi selain mendengar sebarang permasalahan yang dihadapi rakyat setempat.
“Usaha itu adalah bagi melicinkan lagi aturan gerak kerja yang akan dilakukan sepanjang PRK berkenaan. Kita mahu semangat dan konsep bersatu hati yang ditunjukkan jawatankuasa (UMNO) bahagian dan negeri sebelum ini dapat diteruskan bagi mengukuhkan legasi Allahyarham Datuk Noriah Kasnon di sini.
“Ini kerana, beliau sudah tiga penggal berkhidmat untuk rakyat Sungai Besar dan adalah amat penting untuk kita cari pengganti yang dapat meneruskan usaha itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk Allahyarham serta mangsa nahas helikopter di bangunan UMNO Sungai Besar, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Noriah, anggota Parlimen Sungai Besar dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad antara enam yang maut dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lepas.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan mengenai kedua-dua PRK berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos berkata tiada senarai calon baharu dihantar kepada Badan Perhubungan UMNO Selangor melainkan tujuh nama yang pernah diberi pada April 2014.
Ini kerana, katanya, ketujuh-tujuh individu tersebut masih relevan untuk dipilih bagi bertanding kerusi Parlimen berkenaan memandangkan mereka merupakan anggota UMNO Selangor yang kuat bekerja demi rakyat.
“Tapi jika tujuh nama ini masih bukan pilihan presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita akan akur.
“Dengan gerak kerja di kawasan ini kita dah mula lebih setahun lepas, saya amat yakin untuk meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 2,500 undi majoriti untuk BN menang kerusi Parlimen Sungai Besar,” katanya.
Bagaimanapun, Jamal berkata beliau tidak tersenarai dalam tujuh nama berkenaan dan akan mencalonkan diri sekiranya Anggota Dewan Undangan Negeri Sekinchan daripada DAP, Ng Suee Lim mahu bertanding di kerusi Parlimen itu.