12 May 2016

Pelawaan Pas Sertai Pakatan Harapan Seakan Kem Azizah Lawan Kem Azmin Dalam PKR





KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pertelingkahan antara Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali di dalam isu mempelawa Pas kembali bersama pembangkang seakan mengesahkan sememangnya wujud kem A dan Kem B di dalam parti itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Datuk Mohd Sharif, tindakan Azmin menekan ‘panic button’ selepas melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini ternyata tidak disenangi oleh Wan Azizah.
“Saya melihat Azmin mula berasa tergugat dan takut kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor bakal tercabar dan tanpa berfikir panjang beliau menekan butang panik dan mencadangkan Pas kembali bersama Pakatan Harapan.
“Tetapi sayangnya, tindakan Azmin itu ternyata tidak disenangi oleh Wan Azizah yang ramai mengetahui tidak sebulu dengan Azmin. Kerana itulah pelawaan Azmin dinafikan oleh Wan Azizah.
“Maka secara tidak langsung terbuktilah mereka ini bukan sahaja bermusuh tetapi memang tidak pernah mempunyai mimpi yang sama walaupun telah lama tidur sebantal,” katanya kepada UMNO-Online.
Tambah Shahrum, beliau tidak merasakan Pas akan kembali bersama Pakatan Harapan kerana mereka telah berpatah arang dengan Dap dan kini timbul persoalan adakah Azmin akan keluar dari PKR dan menyertai Pas demi menyelamatkan karier politiknya.
“Di Selangor kita tahu tidak wujud Pakatan Harapan kerana Pas tidak ada dalam pakatan tersebut tetapi Pas adalah sebahagian daripada kerajaan negeri dan exco… inilah pakatan cacamarba.
“Jadi demi menyelamatkan diri sendiri adakah Azmin berani untuk meninggalkan PKR dan menyertai Pas apatahlagi dirinya memang tidak disenangi oleh Presiden PKR sendiri,” ujarnya lagi.
Oleh yang demikian tegas beliau rakyat khususnya di negeri Selangor harus menilai adakah pakatan pembangkang ini masih layak untuk terus memberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Baru-baru ini ini Wan Azizah mengeluarkan kenyataan bahawa pelawaan untuk Pas menyertai Pakatan Harapan datang daripada Azmin dan ia tidak mewakili gabungan parti pembangkang itu. –MediaUMNO