16 Jun 2016

PRK: PAS, Parti Amanah Negara bertanding kerana dendam




KUALA KANGSAR: PAS dan Parti Amanah Negara bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bukan untuk memburu kemenangan semata-mata, sebaliknya berpaksikan pada dendam kesumat antara mereka.

 Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata situasi itu dapat dilihat dalam siri ceramah dan kempen mereka yang sering mencerca antara satu sama lain, seolah-olah mahu menunjukkan siapa lebih kuat.

 Menteri Belia dan Sukan itu berkata, cara seperti itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan platform PRK untuk meraih kemenangan, bahkan memastikan kesinambungan pembangunan dilaksana.

 "PAN adalah serpihan kepada PAS, mereka lawan sebab nak tunjukkan kepada pengundi kekuatan masing-masing. 

"PAS menggunakan ruang PRK untuk menunjukkan bahawa mereka lebih hebat daripada parti serpihannya. Inilah yang kita kata mereka bertanding untuk balas dendam kesumat," katanya berucap pada majlis berbuka puasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Lempor, petang tadi.

 Beliau berkata, pemilihan wakil rakyat daripada BN pada PRK kali ini bukan sahaja mampu meneruskan kesinambungan dibawa Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, malah memastikan urusan perancangan pembangunan dapat dilakukan dengan mudah.

 Katanya, sukar jika wakil rakyat di Kuala Kangsar ini terdiri daripada mereka yang partinya tidak sama dengan Kerajaan Pusat dan negeri yang diterajui BN.

 "Sebab kalau kita bagi (undi) kepada PAS dan parti serpihannya, kalau menang mereka tidak mampu buat apa-apa. Tapi kalau Datin Mastura Mohd Yazid menang, maka mudahlah untuk kita laksanakan lebih banyak pembangunan di kawasan ini," katanya.


 Malam tadi, satu perlawanan persahabatan bola sepak diadakan antara pasukan Khairy dan pasukan pemuda Kuala Kangsar di Stadium Mini Kuala Kangsar.- BH Online