23 Jun 2021

Pengurusan Sawit Kinabalu Perihatin


Kumpulan Sawit Kinabalu akan mengedarkan bakul makanan bernilai RM1 juta kepada masyarakat di 15 daerah yang mana membabitkan kawasan syarikat itu beroperasi di negeri ini.


Bantuan bakul makanan itu yang kini dalam proses untuk diedarkan akan disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Papar, Beaufort, Membakut, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Tongod, Kinabatangan, Lahad Datu, Tungku, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan.



Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu menyaksikan penyampaian replika cek sebagai simbolik daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie kepada

Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan negeri telah mengagihkan sejumlah 40,736 bakul makanan kepada golongan yang terkesan menerusi Program Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, yang bermula pada 19 Jun lalu.

Sebelum ini, kerajaan sudah mengagihkan bantuan bakul makanan menerusi BSP1.0 yang membabitkan sebanyak 322,122 bakul manakala BSP2.0, sebanyak 367,231 bakul.

Sambil menegaskan bahawa semua orang harus bersatu dalam memerangi penularan COVID-19 dan paling penting mendapat vaksin secepat mungkin, Hajiji berharap sumbangan daripada Sawit Kinabalu itu dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

“Selain Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), saya mendesak semua wakil rakyat untuk terus menangani dan berusaha mempercepatkan proses pendaftaran vaksin di kawasan masing-masing agar sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dapat dicapai,” katanya.

Begitu juga, saya juga menggesa badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus meluangkan masa dan usaha mereka membantu dalam proses ini, tambahnya.

Kita perlu meningkatkan pendaftaran secara manual di kawasan yang menghadapi jaringan internet agak kurang kerana kawasan seperti inilah bantuan yang sangat diperlukan untuk melengkapkan lagi program jangkauan bergerak,” katanya.

Ketua Menteri dengan sukacitanya mengatakan bahawa jumlah orang yang mendapat vaksin dos pertama di bawah fasa pertama dan kedua semakin meningkat dengan 333,983 orang setakat ini, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). “Kita berharap akan mencapai sasaran 30,000 orang yang diberi vaksin setiap harimulai bulan Julai dan seterusnya, sekali gus melebihi jumlah harian yang dicatat sekarang ini iaitu 13,000 orang,” katanya.

Terdahulu Bacho berkata, sumbangan Kumpulan Sawit Kinabalu akan memberi manfaat kepada 10,000 ketua isi rumah (KIR) di daerah masing-masing dan dia memberi jaminan bahawa Sawit Kinabalu akan meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama yang

terkesan akibat pandemik itu.