Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan disambut pada hari Isnin, 31 Ogos 2015. Tempoh masa bercuti yang panjang selama 3 hari iaitu mulai hari Sabtu, 29 Ogos 2015 seharusnya dapat dimanfaatkan oleh semua penjawat awam khususnya yang tidak terlibat dalam persediaan Hari Kebangsaan untuk bercuti di pusat-pusat peranginan, pulang ke kampung bertemu ibu dan bapa atau mengisi masa lapang bersama keluarga di rumah.
Namun, setelah dimaklumkan bahawa pihak penganjur BERSIH 4.0 akan mengadakan perhimpunan tanpa permit berdekatan dengan lokasi sambutan Hari Kemerdekaan, saya percaya agensi-agensi keselamatan, perubatan, PBT dan lain-lain lagi pastinya akan bersiap sedia dengan keanggotaan yang mencukupi untuk mengawal ketenteraman awam dan memberi bantuan kecemasan semasa diperlukan.
Hal ini dirasakan akan mendukacitakan semua anggota keselamatan dan penjawat awam yang terlibat kerana mereka terpaksa bersengkang mata dan membanting tulang untuk bersiap sedia mengawal perhimpunan BERSIH 4.0 yang telah pun diisytiharkan sebagai perhimpunan haram oleh pihak berkuasa sehingga terpaksa mengorbankan masa rehat mereka pada hujung minggu.
Ahli keluarga terutama anak-anak mereka di rumah adalah insan yang paling kecewa dan bersedih kerana tidak dapat bersama ibu bapa mereka menikmati hujung minggu yang ditunggu-tunggu!
Sumber: disini