KHEMAH yang disediakan kepada keluarga mangsa kebakaran Kampung Habib Abdul Rahman dan Kampung Titingan di Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming
TAWAU: Seramai 60 keluarga mangsa kebakaran Kampung Habib Abdul Rahman dan Kampung Titingan, di sini, tetap tabah terpaksa menyambut Ramadan dalam khemah di penempatan sementara disediakan pihak berkuasa.
Walaupun cuaca tidak menentu, mereka yang tinggal di khemah berkenaan sejak tiga minggu lalu gigih menjalani ibadat puasa di sebalik keadaan kurang selesa berbanding tinggal di rumah masing-masing yang musnah dalam kebakaran pada 13 April lalu.
Bagaimanapun, mereka tetap bersyukur kerana pihak berkuasa menyediakan kemudahan asas seperti air, elektrik, tandas dan bilik air selain tempat memasak.
Tinjauan BH mendapati, sebanyak 60 daripada 100 khemah yang disediakan kini dihuni mangsa kebakaran berikutan tidak mampu membina semula rumah atau menyewa, selain masih menunggu ditawarkan kediaman menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Penduduk, Samsiah Lasenih, 46, berkata walaupun terpaksa melalui situasi sukar terutama menyediakan juadah bersahur dan berbuka berikutan ruang sempit dan tiada bekalan elektrik di dalam khemah, namun ia tidak menjadi masalah besar buat mereka enam beranak.
Katanya, semua mangsa yang tinggal di khemah penempatan sementara itu bersyukur kerana kerajaan menyediakan dapur sementara sebagai tempat memasak.
"Bagaimanapun, kami kini hanya bergantung kepada barangan dapur diterima melalui bantuan selain terpaksa menggunakan wang baki yang masih ada dalam simpanan hasil sumbangan pelbagai pihak bagi perbelanjaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang.
"Kami juga terpaksa berjimat cermat ketika berbelanja dan keutamaan adalah keperluan harian, selain perbelanjaan persekolahan anak-anak.
"Pada masa sama, kami reda menjalani Ramadan kali ini secara sederhana selain bersyukur dan bersabar menempuh ujian walaupun kemungkinan tidak dapat menyambut lebaran sama seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui sebentar tadi.
Dalam kejadian 13 April lalu, lebih 3,000 penduduk hilang tempat tinggal apabila 300 rumah papan di kedua-dua kampung berkenaan terbakar.
Sementara itu, bagi Rosmini Kanisi, 35, bersahur dan berbuka dalam khemah adalah pengalaman pertama mereka sekeluarga selepas rumah musnah dalam kebakaran, selain tidak mempunyai pilihan lain untuk tinggal dalam keadaan lebih selesa seperti sebelumnya.
"Apapun sebagai umat Islam, kami seperti kebiasaannya tetap menjalani ibadat puasa selain cuba menyesuaikan diri dengan keadaan serba sederhana seperti memasak makanan untuk juadah berbuka dan bersahur sekadar yang mampu," katanya.
Sumber: disini (BHonline 7/6/2016)
|
7 Jun 2016
Mangsa kebakaran Tawau Sabah tabah berpuasa dalam khemah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment