KUALA LUMPUR 4 Sept – Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin menyeru kumpulan wakil rakyat Pas yang menyeberang jambatan baru hari ini untuk melepaskan jawatan wakil rakyat masing-masing sebagai tanda kebertanggungjawaban dan pemimpin yang berprinsip.
Soal beliau apakah kumpulan tersebut sudah lupa bagaimana jika mana-mana wakil rakyat pembangkang sebelum ini yang bertindak keluar parti akan diseru perkara yang sama sepertimana seruannya hari ini.
“Bukankah perkara ini sering dicanang oleh pembangkang jika berlaku senario yang sama sepertimana yang berlaku ketika krisis peralihan kerajaan di negeri Perak. Begitu juga gesaan terhadap mana-mana wakil rakyat lain yang bertindak keluar parti.
“Apa pun jika mereka tidak berbuat demikian akan jelaslah sikap hipokrit mereka dalam soal berkenaan. Takkanlah bila kena batang hidung sendiri mereka boleh buat-buat lupa. Soalnya sekarang sudah jelas.
“Jika mereka lupa, saya sekali lagi mengingatkan perkara yang sama agar mereka tidak ditohmah dengan pelbagai tohmahan dan sebagainya lagi,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Pada Isnin lalu, dilaporkan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu mengumumkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai wadah politik gerakan itu.
Selain Khalid, Ahli Parlimen Pas yang menyertai Amanah ialah Datuk Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Hanipa Maidin (Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).
Turut berbuat demikian adalah lima ADUN Pas iaitu Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib).
Tegas Khairuddin lagi atas dasar integriti kesemua wakil rakyat Pas perlu bertindak sedemikian rupa kerana mereka menang pada pilihan raya sebelum ini adalah atas tiket parti masing-masing.
“Percayalah…selagi mereka tidak meletakkan jawatan terserlah hipokrit yang sebenarnya dan terpampang ciri-ciri hipokrasi yang nyata,“ ujarnya lagi.– MediaUMNO