MO, KUALA LUMPUR,27/10/2015 – Pas akhirnya mengesahkan pendirian bahawa mereka tidak akan menyertai Pakatan Harapan setelah lama menjadi pertanyaan ramai pihak.
Malah, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan analogi bas ekspres yang telah tersasar hala tujunya sebagai kiasan untuk menjelaskan Pakatan Harapan.
“Kita tidak ada harapan, tidak ada harapan … dengan harapan yang tidak sampai destinasi, macam saya sebutkan tadi ‘naik bas ekspress nak pergi Kuantan, jalan ke Kuala Lipis, mana boleh sampai,” katanya sambil ketawa apabila diminta mengulas berkenaan keputusan kerjasama antara Pas dan Pakatan Harapan.
Malah, Abdul Hadi turut menyatakan parti itu akan terus menjadi pembangkang yang beradab dan bertanggungjawab terutama berkaitan kebajikan rakyat.
Tambahnya, PAS akan bekerjasama dengan semua parti tidak kira Barisan Nasional (BN) mahupun parti-parti pembangkang dalam isu-isu berkaitan rakyat.
“PAS akan terus menjadi pembangkang, bukan yang menyerang tetapi memberi penerangan. Contohnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Pas tidak bersetuju dengan GST dan Pas ingin mencadangkan apakah alternatif untuk menampung hasil kerajaan selain GST. Kita ada cadangan kita.
“Termasuklah penurunan nilai mata wang, kita ada pendekatan kita bagaimana hendak menaikkan mempertahankan nilai mata wang kita,” katanya pada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Malah, katanya Pas lebih memelihara hubungan dengan rakyat dan bukan sahaja dengan ahli-ahli Parlimen.
“Ini sikap kita dalam menangani dalam sebuah parti pembangkang, kerana kita lebih memelihara hubungan dengan rakyat bukan dengan ahli-ahli Parlimen sahaja.
“Kita telah mengadakan Kongres Rakyat ini menjadi landasan kepada kita untuk bergerak dalam membela rakyat,” katanya.
Ditanya mengapa Pas tidak mengangkat sepanduk yang berbunyi ‘Mana RM2.6 bilion?’ seperti yang dilakukan ahli Parlimen pembangkang yang lain ketika pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, Abdul Hadi menegaskan Pas bukanlah parti yang menunjukkan perasaan di jalanan sebaliknya sebuah parti yang penuh beradap dalam membangkang.
“Kita ahli-ahli Parlimen bukan kita tunjuk perasaan jalanan. Saya sudah sebut tadi, kita jadi ahli Parlimen yang beradap. Membangkang yang beradab,” tambah Abdul Hadi.-AstroAwani