KUALA LUMPUR 5 Nov – Ketua UMNO Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir hari ini membidas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung sikap membisunya yang gagal memberikan penjelasan berhubung desakan beberapa pihak sebelum ini berkenaan bantuan sekolah agama rakyat di negeri tersebut.
Menurut beliau soal ketelusan serta prinsip akauntabiliti nampaknya makin pudar setelah hampir dua bulan soalan ya atau tidak mengenai isu tersebut yang bukan sahaja nampak samar-samar tetapi tidak menemui jawapannya.
“Nampaknya selepas dua bulan Guan Eng gagal menjawab persoalan sama ada Ya atau Tidak kerajaan negeri telah menghentikan bantuan kepada sekolah agama rakyat di negeri itu. Persoalan ini perlu dijawab kerana ada dakwaan mengatakan bantuan itu telah dihentikan di beberapa sekolah hanya kerana Dap berperang dengan Pas.
“Jika benar maka jelaslah kerajaan Dap Pulau Pinang mengamalkan politik tidak matang dan balas dendam kerana sanggup menghentikan bantuan tersebut atas faktor perang politik.
“Maka sepatutnya jika ini berlaku kerajaan Dap Pulau Pinang patut belajar politik matang dari Barisan Nasional yang tetap memberi bantuan dan kemudahan kepada Pulau Pinang meskipun negeri itu ditadbir oleh musuh politik BN”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Sebelum ini beberapa pihak meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan sewajarnya berhubung bantuan sekolah agama rakyat di negeri tersebut.
Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim mencabar Guan Eng untuk membuat penafian terhadap kenyataan media yang diedarkan oleh Pengetua Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA), Muhammad Fauzi Yusof.
Antara isi kandungan kenyataan media tersebut adalah surat makluman pemberian bantuan kepada SRIA Balik Pulau, Pulau Pinang telah ditarik balik pada hari yang sama ia diserahkan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) melalui pegawainya.
Namun Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai pembohongan serta fitnah yang giat disebarkan mengenai pentadbirannya, bertujuan membakar sentimen perkauman dan agama.
Tetapi selepas penafian itu Pas Pulau Pinang terus mengemukakan bukti apabila Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Yusni Mat Piah mendakwa kerajaan Dap Pulau Pinang telah menghentikan bantuan kewangan tahunan kepada dua sekolah agama iaitu Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) di Balik Pulau dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) di Permatang Pauh.
Tindakan tersebut menurut Mohd Yusni telah menyebabkan lebih 500 murid dan 80 kakitangan kedua-dua sekolah terbabit berada dalam keadaan terumbang ambing.
Mengulas lebih lanjut Musa seterusnya menambah kerajaan negeri tidak perlu bersembunyi sebaliknya perlu tampil ke depan dan memberi penerangan serta penjelasan yang sejelas-jelasnya kerana ianya melibatkan kepentingan umum.
“Perlu tampil…kalau tidak tampil dan gagal menjawab dakwaan tersebut maka ia memberi gambaran kerajaan Dap Pulau Pinang cuba menyembunyikan sesuatu.
“Bukan sehari dua…bukan seminggu atau dua minggu tetapi rasanya sudah berlarutan hampir dua bulan dakwaan ini ditimbulkan namun sayang sehingga hari ini kerajaan Dap gagal memberi jawapan yang jelas,” ujarnya. -MediaUMNO