KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pada awalnya canang sana-sini kononnya mengamalkan ketelusan dan penuh bertanggungjawab dalam mentadbir, tetapi hakikatnya semakin menampakkan sikap sebenar parti Dap ini yang bukan hanya pandai memanipulasi isu tetapi juga hanya pandai mencipta dan memanipulasi istilah, ujar Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim.
“Apa telah terjadi dengan dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus itu? Adakah hanya terpakai apabila mendedahkan pekung orang lain, tetapi apabila yang melibatkan diri sendiri?
“Kononnya telus tetapi mengapa sembunyikan fakta sebenar? Beritahu di Dewan Negeri hanya 60 ekar tetapi sebenarnya lebih 200 ekar.
“Dengan bangganya berkata hanya meluluskan projek penambakan laut seluas 60 ekar sahaja sejak 2008 iaitu 35 ekar di Bayan Mutiara dan 25 ekar di Bayan Bay tetapi seolah-olah ‘buat-buat terlupa’ untuk memaklumkan kepada rakyat negeri ini satu lagi projek seluas 131 ekar di persisiran Gurney Drive dan penambahan 20 ekar di Seri Tanjung Pinang Fasa Dua,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online ketika mengulas sikap Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyembunyikan fakta keluasan kawasan yang terlibat di dalam kerja-kerja penambakan laut di negeri tersebut.
Eastern & Oriental Berhad (E&O) dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia baru-baru ini mengumumkan projek tambak laut Seri Tanjung Pinang Fasa Dua akan melibatkan kawasan laut seluas 760 ekar dan satu lagi kawasan seluas 131 ekar di Persiaran Gurney.
Mengikut kelulusan asal, projek tambak laut Seri Tanjung Pinang Fasa Satu (yang telah siap) berkeluasan 240 ekar manakala Seri Tanjung Pinang Fasa Dua pula melibatkan kawasan seluas 740 ekar. Tetapi, pengumuman yang dibuat E&O tentang keluasan Seri Tanjung Pinang Fasa Dua adalah 760 ekar iaitu 20 ekar melebihi keluasan asal.
“Ini soal integriti dan kewibawaan sebagai seorang pemimpin, yang memegang tampuk pemerintahan negeri dan sewajarnya kejujuran patut menjadi keutamaan.
“Jelas mereka ini mengamalkan pembohongan demi pembohongan sebagaimana contoh kes salah kira kos projek mega pembinaan terowong dasar laut dan kes salah kira pemilihan jawatankuasa pusat yang lalu.
“Mereka ini hanya tahu mengelirukan rakyat, seolah-olah menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat, tetapi mereka ini lupa, mereka hanyalah sebagai penjaga amanah daripada rakyat dan bukannya membuat sesuka hati tanpa mengambil kira pandangan rakyat,” kata Ahli Dewan Negara itu lagi.
Tambahnya lagi, jika dahulu, pelbagai tuduhan dan kritikan dilemparkan kepada kerajaan negeri pimpinan terdahulu kononnya tidak menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, tetapi kini setelah mentadbir, adakah mereka ‘berlidah cabang’ sesuka hati menekan rakyat dengan tindakan-tindakan seperti menaikkan tarif air, cukai katil, cukai taksiran dan pelbagai lagi cukai.
“Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”, tidak ubah seperti apa yang mereka amalkan, tegasnya. -MediaUMNO