Dalam bahagian pertama di sini, saya telah menjelaskan dengan panjang lebar isu Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN). Namun begitu, saya ingin menjelaskan pula isu seterusnya berkaitan tuduhan diktator.
Beberapa pihak di luar sana memberikan pandangan yang salah kerana kebanyakan pandangan mereka hanyalah berbau persepsi dan sentimen politik semata-mata. Pengalaman sangat penting tetapi tidak semestinya bersesuaian dengan tafsiran terkini keadaan dunia yang pantas berubah. Kita mesti sedar, isu-isu keselamatan semakin bertambah kompleks sekarang.
Saya ambil satu contoh mudah, dahulu pasukan keselamatan boleh menghantar PDRM dan ATM ke Memali dan menyelesaikan kes di sana dengan mudah. Namun, hari ini, pengganas seluruh dunia berada di dalam komuniti masyarakat, mereka bergerak di dalam siber, mereka mempunyai sumber kewangan yang besar, malahan mereka mempunyai kepakaran persenjataan yang sangat tinggi.
Jika di Memali dahulu, mereka hanya menggunakan parang dan tombak sahaja tetapi kini pengganas yang tidak dikenali memiliki senjata moden yang sangat canggih. Seluruh dunia menghadapi isu keselamatan. Anda perhatikan negara maju seperti Perancis sendiri gagal mengesan mereka. Inikan pula Malaysia jika kita tidak berwaspada, sudah pasti mereka boleh menghuru-harakan negara kita bila-bila masa dan di mana-mana jua di hadapan anda.
Saya ingin menjelaskan bahawa RUU MKN tidak akan menjadikan mana-mana Perdana Menteri seorang yang bertindak sebagai diktator.
Ini kerana di dalam Kawasan Keselamatan, yang berkuasa ialah organ negara seperti PDRM, ATM dan mana-mana agensi penguatkuasa awam. Bukannya Perdana Menteri.
Adalah menjadi common sense bahawa sesiapa yang melakukan kesalahan perlu melalui proses undang-undang. Jumlah maksima denda dan penjara ditentukan oleh Hakim bicara bukan Perdana Menteri.
Perdana Menteri tidak ada kuasa menangkap orang tanpa bicara. Prinsip demokrasi sangat terserlah di dalam RUU MKN yang saya jelaskan di sini.
Cuba anda nyatakan di mana kuasa yang diperuntukkan dalam RUU MKN Perdana Menteri diberikan kuasa diktator?
Di Malaysia, kelihatan jelas hanya DAP mengamalkan prinsip Diktator. Contohnya di dalam isu terbaharu Tony Pua dengan Gobind Singh di Konvensyen DAP Selangor, siapakah yang mendapat undi terbanyak tetapi siapakah pula yang dilantik memegang JetBlue oleh DAP ?
Begitu juga dalam kes-kes lain seperti tidak menghormati lagu Negaraku (lagu Negara), tidak mengaku sebagai warganegara Malaysia, tidak hendak berucap dalam Bahasa Malaysia, menterbalikkan bendera Negara dan sebagainya. Semua itu adalah ciri-ciri diktatorisme dan nilai-nilai itu dididik secara salah kepada rakyat Malaysia.
Itu belum lagi negara kita berperang untuk mempertahankan kedaulatan negara ! Seandainya esok negara kita diserang, negara memerlukan rakyatnya ke medan perang, cuba tanya diri anda, adakah anda akan mempertahankan negara ini atau anda akan berhijrah ke negara lain?
Maka, sebelum ianya berlaku, Kerajaan memandang ke hadapan dengan membuat RUU MKN demi mempertahankan kedaulatan rakyat dan negara kita. Itu sahaja. Tiada niat lain !