10 Dec 2015

Pemuda UMNO Cadang Skim Jaminan Rumah Pertama – Khairy

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO mahu kerajaan mewujudkan jaminan pinjaman bagi Skim Rumah Pertamaku kepada pemohon pinjaman yang tidak diluluskan oleh bank, kata ketuanya Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata cadangan ini adalah idea anggota Majlis Tertinggi Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Dia minta saya tolong sampaikan, sebab dia tak boleh naik untuk gulung. Dalam hal ini, maksudnya kalau hari ini 70 peratus daripada pinjaman rumah pertama minta daripada bank, bank tolak… kita minta kerajaan jamin pinjaman tersebut supaya (permohonan) mereka tidak ditolak,” katanya.
Kuala Lumpur, 9 Disember--Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersama para perwakilan Pemuda mengangkat tangan sebagai kesatuan pergerakan itu dalam meneruskan perjuangan parti keramat UMNO sejurus ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC petang ini. - Foto : MediaUMNO
Menggulung perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, Khairy menjelaskan Skim Rumah Pertamaku adalah di bawah pengawasan Kementerian Kewangan dan bukan KPKT.
Dalam isu bantuan perumahan, beliau berkata Abdul Rahman turut memaklumkan kepadanya bahawa permintaan perwakilan Pemuda UMNO tahun lepas untuk skim sewa beli bagi projek-projek perumahan kos sederhana telah dilaksanakan kementerian.
Mengenai unit rumah bagi kuota bumiputera yang tidak dijual pemaju, Khairy berkata ia kini tidak lagi boleh dilepaskan kepada pasaran terbuka
sewenang-wenangnya.
“Sekarang ini di bawah kuasa pentadbiran (KPKT) yang kita ada, unit-unit itu perlu diserah selama tiga bulan kepada kementerian untuk mereka cari pembeli Bumiputera,” katanya.
Mengulas perhimpunan agung Pemuda UMNO, Khairy, memuji kualiti perbahasan kesemua 13 pembahas yang mewakili setiap negeri yang disifatkannya ‘menjiwai’ rakyat.
“Setiap jurubahas membangkitkan isu-isu yang dekat dengan hati rakyat, menyentuh pelbagai isu yang mempunyai kepentingan kepada rakyat,” katanya.