11 Dec 2015

Ada Ubi Ada Batas,Ada Budi Sabah Tatap Balas- Tawfiq Titingan-Pau 2015



DRAF UCAPAN
MEMBAHAS UCAPAN DASAR PRESIDEN
Oleh:
YB DATUK HJ. TAWFIQ DSP ABU BAKAR TITINGAN
KETUA UMNO BAHAGIAN TAWAU
MEWAKILI BADAN PERHUBUNGAN UMNO SABAH
SEMASA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2015

Assalamualaikum w.r.t  dan salam sejahtera

Dato’ Pengerusi Tetap Persidangan,

A. MUKADDIMAH

01. Parti UMNO telah melepasi usia 68 tahun, telah banyak ranjau yang kita lalui dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dalam pelbagai zaman. Walaupun parti kita diasak dan diterjah dari luar mahupun dari dalam, Allah s.w.t masih mentakdirkan UMNO memikul amanah tunggak kuasa pemerintahan di bumi bertuah Malaysia.

02.  Namun barang perlu kita ingat, kejayaan dan kuasa pemerintahan bukan hak mutlak parti tanpa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankannya.

03. Pokok pangkal kejayaan parti melepasi segala halangan, ujian, cabaran silih berganti selama ini adalah kerana permuafakatan, kesatuan, perpaduan, solidariti majoriti ahli-ahli UMNO dalam menjunjung matlamat perjuangan parti keramat walau terpaksa menelan sesuatu yang pahit serta tidak memenuhi selera masing-masing.

04. Tradisi ini yang perlu kita kekalkan, suara majoriti dalam parti adalah suara keramat. Semua pihak harus menghormati dan akur keputusan yang dibuat.

05. Kalau kita kekal bersatu padu, meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi, kita bersolidariti dengan kasih sayang, Insya Allah perjuangan kita akan terus diiringi berkat dan rahmat dari sisi Allah s.w.t kerana Allah s.w.t sangat suka kepada pejuang dan jamaah yang mempunyai kesungguhan dan kesepakatan seperti sebuah bangunan yang tersusun rapi, mantap dan solid. Seperti Fiman Allah dalam surah As-Saff ayat 4 yang maksudnya:

“ Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang dalam barisan yang teratur, seakan mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.
Begitu juga dengan Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Jalinan kerja antara orang-orang yang beriman adalah seperti bahan binaan yang saling menguatkan dan mengukuh antara satu dengan yang lain”

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan.

B. MENGAPA UMNO SABAH BERDIRI TEGUH MENYOKONG KEPIMPINAN NAJIB ?

06. Ada yang bertanya kepada kami mengenai pendirian UMNO Sabah  bersolidariti dengan UMNO Bahagian Bahagian seluruh negara dalam menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti.

07. Pertama, ingin kami jelaskan di sini bahawa apa jua keputusan yang kami ambil bukanlah keputusan peribadi atau keputusan dua atau tiga orang Ketua Bahagian, tetapi pendirian kami adalah pendirian majoriti 24 daripada 25 bahagian suara akar umbi semasa Persidangan Perwakilan Bahagian-Bahagian di Sabah baru-baru ini.

08. Kedua, seperti kata-kata Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, orang Sabah amat mengenang budi umpama Peribahasa “ ada ubi ada batas, ada budi pasti Sabah akan membalas”.

09. Kalau sesiapa baik hati kepada Sabah, maka Sabah juga akan baik kepada mereka. Sebaliknya, sesiapa yang berniat jahat atau melakukan kejahatan kepada Sabah, maka kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Sebagai bukti ketegasan tersebut, apabila Nurul Izzah dan Tian Chua, naib-naib Presiden PKR semasa di Manila didapati bersekongkol dan bertemu dengan Jacel Kiram, anak kepada Sultan Sulu yang mencetuskan serangan keganasan ke bumi Sabah, maka Sabah tidak teragak-agak mengambil tindakan untuk mengharamkan kedua-dua mereka daripada menjejakkan kaki ke bumi Sabah.
Berbalik kepada sokongan UMNO Sabah kepada YAB Dato’ Seri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia, ingin kami nyatakan di sini bahawa:

i. UMNO Sabah sokong Najib bukan semata-mata kerana beliau seorang Perdana Menteri yang paling kerap berkunjung ke merata tempat di seluruh Sabah untuk mendengar dan menyelami denyut nadi rakyat Sabah serta menyelesaikan kebanyakan permasalahan yang kami hadapi.

ii. UMNO Sabah sokong Najib bukan semata-mata kerana beliau satu-satunya Perdana Menteri (PM) yang menghargai kebolehan pemimpin-pemimpin Sabah dengan memberi kepercayaan melantik  enam jemaah menteri dalam barisan kabinet persekutuan

kepada pemimpin dari Sabah yang sebelum ini hanya dibataskan kepada dua jawatan menteri penuh, itu pun hanya Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
iii. UMNO Sabah sokong Najib bukan semata-mata kerana beliau prihatin dan bersetuju untuk mewujudkan Jawatankuasa mengkaji isu-isu yang dekat di hati rakyat Sabah, khususnya isu mengenai hak-hak Sabah yang dipersetujui bersama semasa membentuk Malaysia pada tahun 1963.

12. UMNO Sabah sokong Najib bukan juga semata-mata kerana peruntukan berbilion  untuk pembangunan negeri Sabah dan kebajikan rakyat Sabah.
Sebenarnya, UMNO Sabah sokong Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah kerana beliau merupakan Presiden UMNO yang dipilih oleh seramai 150 ribu orang secara demokratik oleh ahli-ahli UMNO yang hadir sebagai perwakilan pada tahun 2013.
Jawatan Presiden UMNO adalah amanah yang digalas hasil pilihan lebih 3 juta ahli UMNO seluruh negara. Oleh itu, institusi presiden ini merupakan amanah, mandat dan maruah ahli-ahli UMNO keseluruhannya harus terus dipertahankan sampai bila-bila dan kalaupun UMNO mahu membuat sebarang perubahan, ia mestilah dilakukan mengikut peraturan dan perlembagaan yang kita dukung
bersama.

UMNO Sabah juga menyokong Najib kerana kita berpegang kepada prinsip syariah berdasarkan dalil yang terdapat dalam al-Quran:

Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin dari kalangan kamu”
Kalau kita ambil solat sebagai contoh, makmum wajib mengikuti imam, tidak ada sesiapa pun makmum boleh menyingkirkan imam selagi tidak ada dalil sorih (nyata) yang menunjukan imam telah melakukan sesuatu yang menyebabkan solatnya batal. Setakat ini, dari sudut pandangan kami,

Dato’ Presiden selaku imam dalam kepimpinan UMNO, tidak terdapat dalil jelas secara mutlak melainkan hanya dalil Zanni (sangkaan), andaian semata-mata. Lantaran itu, penyingkiran PM dan Presiden secara tidak mengikut perlembagaan, apatah lagi berdasarkan sangkaan dan fitnah sama sekali tidak boleh diterima.

UMNO Sabah juga menyeru dan merayu kepada semua ahli UMNO, tanpa mengira sama ada yang berjawatan tinggi dalam hirarki parti atau sekadar ahli biasa yang masih aktif dengan jawatan atau yang sudah pencen, agar berhenti
menjadi lidah pembangkang menyerang Presiden parti sendiri yang kesannya akan memecahbelahkan parti dan melemahkan kita semua.

UMNO Sabah turut hairan terhadap sikap segelintir pemimpin-pemimpin ini yang suatu ketika dahulu mengajar kami di Sabah untuk setia dan patuh kepada keputusan kepimpinan parti. Semasa sistem penggiliran Ketua Menteri berkuatkuasa di Sabah (1994-2003), yakni jawatan Ketua Menteri digilir-gilirkan setiap tahun di kalangan UMNO, parti komponen bumiputera bukan Islam dan parti Cina. Kami diarah untuk patuh dan akur kepada keputusan untuk ber Ketua Menteri kan pemimpin dari parti komponen yang partinya hanya mempunyai satu atau dua kerusi berbanding UMNO Sabah yang memiliki jauh lebih banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Sememangnya amat pahit untuk kami telan, namun kami tetap akur dan patuh kepada arahan kepimpinan kerana kami diajar oleh PM dan Presiden parti ketika itu bahawa apabila kita menjadi ahli UMNO, maka nilai tunggak dalam parti adalah setia dan taat kepada kepimpinan parti.
Amat menakjubkan, pemimpin veteran yang mengajar kami untuk setia kepada kepimpinan demi kesinambungan serta kekuatan parti, kini adalah pemimpin yang sama mengadakan “Road Show” menjelajah di merata tempat termasuklah di Sabah untuk menghasut ahli-ahli UMNO akar umbi untuk bangkit mengingkari kepimpinan parti serta menghasut untuk menggulingkan PM secara demontrasi jalanan. Maka benarlah kata-kata “Melayu Mudah Lupa”.

UMNO Sabah dengan ini menyatakan pendirian  agar Jawatankuasa Disiplin parti dan Majlis Kerja Tertinggi parti (MKT) mengkaji serta memulakan siasatan terperinci kepada pihak-pihak yang melanggar perlembagaan parti, disiplin dan tatatertib etika berorganisasi dan sekiranya terdapat kesalahan, kami UMNO Sabah menyokong sebarang tindakan diambil demi mengelan
kan virus jahat dari menular di kalangan ahli-ahli UMNO. UMNO Sabah bertegas agar presiden parti bersama MKT tidak terlalu bertolak ansur kepada golongan serpihan ini, kerana jika tidak, kita semua akan ditolak secara beransur-ansur oleh ahli parti dan rakyat keseluruhannya.

C. ISU KESELAMATAN PANTAI TIMUR SABAH / MILITAN IS

Krisis pencerobohan Lahad Datu 2013 merupakan satu “wake up call” agar kita sentiasa berwaspada dan meletakkan agenda keselamatan sebagai keutamaan dalam pembangunan negara.
Sekumpulan militan seramai 235 orang yang menggelar diri mereka sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara dihantar oleh Jamalul Kiram III (yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu) untuk menceroboh Kampung Tanduo Lahad Datu, kononnya untuk menuntut kembali kawasan pantai Timur Sabah sebagai sebahagian wilayah mereka.
Insiden keganasan tersebut bukan sahaja mengorbankan 10 orang anggota keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan di Semporna, bahkan menyebabkan  kemusnahan harta benda, mengganggu gugat ekonomi Sabah selain mengganggu suasana aman serta harmoni yang dikecapi  penduduk Sabah sebelum itu.
Saya sendiri menyaksikan secara langsung kezaliman dan keganasan yang diperlakukan kepada anggota keselamatan kita dan ada di antara mereka dikorek kedua belah biji mata, dikerat batang leher mereka, dikikis isi dan kulit muka mereka sehingga yang tinggal hanyalah tulang tengkorak dan  banyak lagi kezaliman mereka yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Saya amat sebak melihat isteri-isteri para syuhada pejuang kita yang menjadi balu, anak-anak mereka menjadi yatim, ibu bapa di kampung yang sering merindui anak-anak kesayangan mereka yang bertugas menjaga kedaulatan negara, tapi yang kembali hanyalah jenazah bersalut jalur gemilang. Saya melihat jenazah wira-wira kita kaku seakan-akan tidur di kamar mayat. Bezanya, mereka tidur untuk selama-lamanya dan tidak akan bangun lagi. Kenapa? Dan untuk apa ? Untuk kita semua, agar kita boleh tidur dengan selesa dan bangun semula melaksanakan rutin harian dalam keadaan aman agar setiap inci tanah tumpah Malaysia akan terus dipertahankan kedaulatan dan kesuciannya. Mari bersama kita doakan mereka :

UMNO Sabah merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas segala inisiatif yang telah dilaksanakan serta dirancang untuk mengelakkan tragedi / insiden pencerobohan militan yang menjadi lipatan hitam sejarah negara itu kembali berulang.
Terima kasih juga yang tidak terhingga kepada YAB Dato’ PM, YAB TPM dan YB Menteri Pertahanan yang meluluskan bajet besar untuk memantapkan serta memperkukuhkan benteng Keselamatan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE). Tidak dilupakan UMNO Sabah amat menghargai jasa pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan keselamatan negara yang terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta banyak lagi agensi lain yang terlibat, khasnya dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Terima kasih kerana meningkatkan aset-aset keselamatan, antaranya menggunakan pelantar minyak yang dikitar semula untuk menjadi sebuah Pengkalan Hadapan menguatkuasakan pertahanan Pantai Timur Sabah yang lokasinya betul-betul di tengah lautan berhampiran sempadan laut Filipina. Pengkalan ini yang dikenali sebagai “Sea Basing” sempat saya lawati mengiringi YB Menteri Pertahanan turun padang beberapa bulan yang lalu.
Di samping itu, Pengkalan Udara Labuan dan Lahad Datu telah dinaiktaraf, 12 buah AV8 Gempita juga ditempatkan di Kem Kukusan Tawau, pengoperasian bot laju yang boleh bergerak di laut dalam dan cetek, Detachment Hawk di Labuan dan Projek Pasang Pulih (REFIT) kapal selam Scorpion juga turut diwujudkan. Selain itu, dua batalion diwujudkan melibatkan satu batalion tentera darat di Lahad Datu dan satu batalion Pasukan Gerak Am (PGA) di Beluran dengan jumlah 1280 anggota juga diluluskan.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan Sekalian.

Walaupun sejak kewujudan ESSCOM insiden menceroboh perairan Sabah oleh kumpulan militan tidak berulang lagi, namun Pantai Timur Sabah masih lagi terdedah kepada penjenayah rentas sempadan termasuk insiden penculikan di sebuah restoran di Sandakan. Malah, saya difahamkan penduduk di sekitar kampung Tanduo dan berdekatan dengannya seolah-olah trauma, apabila melihat atau mendengar bunyi bot di lautan dan mereka yang berpakaian ala tentera, khasnya pada sebelah malam. Sampai bilakah kerisauan dan kegusaran ini bakal berakhir ? Justeru, UMNO Sabah berharap lebih banyak lagi usaha dilakukan untuk mengatasi masalah masalah ini termasuklah membersihkan negeri Sabah daripada dalang-dalang Kumpulan Militan dan penjenayah rentas sempadan dengan mengadakan operasi bersepadu memeriksa setiap rumah di kawasan berisiko secara berterusan.
 Ancaman IS, (Islamic State), sudah dimaklumi seluruh dunia. Gerakan pemisah yang bercita-cita menubuhkan negara Islam melalui kaedah kekerasan ini, bukan sahaja melanggar prinsip dan kesucian Islam, tetapi juga melahirkan kebencian masyarakat lain terhadap Islam. Melaluibaiah Kumpulan Abu Sayyaf, MNLF, Pejuang Kebebasan Islam Bangsa Moro (BIFF) dan Rajah Solaiman Movement di negara jiran kita Filipina kepada Abu Bakar Al Baghdadi iaitu pemimpin IS membuktikan ancaman IS semakin dekat dengan kita. Oleh yang demikian, UMNO Sabah meminta kerajaan segera mengambil tindakan pengawalan dan pencegahan lebih awal, seperti ungkapan orang bijak pandai:

Maksudnya: “Pencegahan itu lebih baik dari pengubatan”
Untuk elemen-elemen keganasan dan militan ini menerobos masuk ke negara kita, khususnya Sabah yang begitu hampir dengan Wilayah Filipina Selatan, ia memerlukan “Suasana Negativiti” untuk menjadi pemangkin kepada penyusupan ideologi dan seterusnya kemasukan secara fizikal.

Di Timur Tengah “Suasana Negativiti” yang dimaksudkan adalah :
i. Pertembungan antara Syiah dan Sunni
Ii. Pertembungan antara Islam dan Kristian
Iii. Pertembungan politik antara Barat dan Arab
Semua ini melahirkan suasana negatif berbentuk kebencian yang kalau tidak dikawal terbukti boleh menjadi flash point untuk keganasan dan kewujudan kumpulan militan dan eksterimisme bersenjata yang akan tumbuh bagai cendawan.

Melihat situasi di negara kita, suasana negativiti seperti yang dimaksudkan adalah menanamkan kebencian antara Sabah Sarawak dan Semenanjung Malaysia seperti Gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi seterusnya pertembungan antara agama. Sehubungan itu, UMNO Sabah mencadangkan agar lebih banyak engagement dibuat oleh kementerian-kementerian terbabit, mendekati sekiranya terdapat kumpulan-kumpulan yang dirasakan berisiko dan berpotensi menjadi katalis atau pemangkin kepada suasana negativiti yang dimaksudkan di atas. Sekiranya engagement secara baik termasuk memberi penjelasan dan penerangan tidak berkesan, maka gunakanlah segala perundangan yang ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, Rang Undang-Undang Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA)  dan mana-mana perundangan yang difikirkan sesuai sebagai langkah pencegahan di peringkat awal.

UMNO Sabah juga mencadangkan:

i.  Agar satu persidangan kebangsaan mengenai ancaman IS yang melibatkan semua ketua-ketua jabatan dan pengerusi-pengerusi agama negeri serta NGO agama dilaksanakan secepat mungkin.
ii.  Semua tenaga dae’i Jakim, jabatan agama negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Yadim dan NGO Islam di peringkat negeri dan daerah diberi taklimat kemudian digerakkan untuk memberi penerangan kepada seluruh masyarakat, khasnya di kawasan terdedah kepada ancaman IS dan masyarakat di peringkat akar umbi melalui program seminar, kelas-kelas takmir dan khutbah jumaat.
Iii. Jakim, Yadim, jabatan agama negeri, majlis agama negeri, Institut Wasatiyah Malaysia serta Yayasan-Yayasan Islam di seluruh negara menggunakan dana yang ada untuk melaksanakan program tersebut.
Iv. Memberi kemahiran pengecaman ahli-ahli IS yang cuba menyamar memasuki negara Malaysia kepada petugas di pintu masuk seluruh negara.

D.  MENAMBAH BAIK SISTEM PENDIDIKAN
UMNO

Sabah turut menyarankan agar kerajaan, khasnya Kementerian Pendidikan mesti terus berusaha untuk memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh negara, yakni merapatkan jurang, kalaupun tidak mensifarkan perbezaan kualiti prasarana serta mutu pembelajaran antara kawasan bandar dan luar bandar, khususnya di Sabah.
UMNO Sabah juga tidak mahu mendengar lagi isu-isu bangunan sekolah usang, dimakan anai-anai, bangunan berisiko tinggi dengan kebakaran, bangunan tidak selamat untuk digunakan dan sebagainya. Semua ini harus ada pemantauan berterusan dan tindakan segera tanpa menunggu aduan-aduan masyarakat atau ibu bapa, apatah lagi menunggu sehingga musibah datang melanda.
Kuantiti dan kualiti guru-guru harus sentiasa ditingkatkan agar ia dapat diterjemahkan kepada pembentukan modal insan aset negara cemerlang yang mampu menggalas cabaran, mewarisi dan mempertingkatkan kejayaan negara pada masa hadapan.

UMNO Sabah juga mengucapkan penghargaan terima kasih atas jaminan Perdana Menteri yang juga Presiden parti untuk memberi peluang 90 peratus guru-guru yang berkhidmat di Sabah dalam tempoh tiga tahun akan datang, adalah terdiri daripada anak-anak tempatan Sabah sendiri. Namun begitu, kami berharap agar mereka ini mesti dilatih secukupnya, agar impian untuk melahirkan lebih ramai pendidik berwibawa di kalangan anak-anak muda tempatan akan dapat direalisasikan, tanpa berkompromi tentang kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah terbabit. Dalam pada itu, kebajikan guru-guru tempatan di Sabah berbanding guru-guru di Semenanjung juga harus diberikan perhatian. Sebagai perbandingan, guru-guru dari Sabah juga menghadapi masalah berhubung elaun perumahan wilayah yang tidak seimbang, khasnya apabila mereka mengajar di Semenanjung, walhal guru-guru Semenanjung yang mengajar di Sabah mendapat elaun perumahan wilayah yang lebih tinggi.

E.  MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU, MENINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA INGGERIS
Dalam pada itu, UMNO Sabah juga berharap kerajaan akan terus memartabatkan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia. Sebagai bahasa pengantar negara, Bahasa Melayu harus terus diangkat sebagai bahasa ilmu dan tidak boleh dipinggirkan sama sekali walaupun terpaksa berhadapan dengan ledakan modenisasi. Sungguhpun demikian, apa yang saya ingin utarakan di sini ialah usaha memartabatkan bahasa Melayu hendaklah diseiringkan dengan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris khasnya di kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana bahasa Inggeris adalah bahasa lingua franca yang digunakan di kebanyakan negara dan ini amat penting untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain.
Adalah satu kebenaran bagi seseorang yang memiliki kemahiran sekurang-kurangnya dua bahasa (dwibahasa), khususnya bahasa Inggeris selain bahasa Melayu atau bahasa Malaysia, adalah lebih ke hadapan dan cemerlang dalam peperiksaan di universiti, apatah lagi dalam persaingan mencari peluang pekerjaan.

Ketahuilah, kemahiran dalam bahasa Inggeris tidak sesekali akan menjadikan kita kurang kemelayuan atau hilang jati diri dari apa sahaja kaum asal kita, malahan ia akan meningkatkan keyakinan diri, nilai tambah yang amat positif serta kebolehpasaran sehingga ke peringkat global.
Memiliki kemahiran dan fasih berbahasa Inggeris sewajarnya bukan sahaja domain untuk masyarakat Cina atau India, bahkan kita orang Melayu dan bumiputera ada hak untuk untuk diberi peluang mahir dan fasih berbahasa Inggeris.
Jangan sampai anak orang atas sahaja yang belajar di United Kingdom (UK), Australia atau USA yang mahir dan fasih berbahasa Inggeris dan anak kami yang di bawah dan berasal dari kampung tidak fasih berbahasa Inggeris. Apabila tiba masanya untuk mereka bersaing, sudah pasti anak-anak orang bawah atau orang kampung ini tidak dapat bersaing dengan mereka.
Oleh hal yang demikian, UMNO Sabah mencadangkan agar rombakan holistik dilakukan terhadap kurikulum pendidikan dari semua peringkat bermula daripada peringkat tadika sehingga ke menara gading, dengan mengambil kira pentingnya bahasa Inggeris menjadi sebagai bahasa kedua yang diberikan keutamaan.

Teruskan agenda memperbanyakkan peluang untuk anak-anak tempatan mengikuti kursus (Teaching English Second Language (TESL). Kalau boleh kita hantarlah mereka ke negara-negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar atau bahasa rasmi mereka seperti di UK.
Berdasarkan keperluan ini, UMNO Sabah mencadangkan agar Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan kerajaan British untuk mereka menghantar guru-guru pakar bahasa Inggeris ke semua sekolah di seluruh negara, termasuklah sekolah-sekolah rendah di Sabah khasnya di kawasan luar bandar. Jika ini dapat dilakukan maka sudah tentu ia dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris terutamanya anak-anak tempatan Melayu dan bumiputera.

F. UMNO SEBAGAI PAYUNG KEPADA BANGSA MALAYSIA

49. Pada masa yang sama, UMNO Sabah sekali lagi menegaskan agar UMNO yang menjadi dukungan orang Melayu dan bumiputera sejak 69 tahun lalu, hendaklah menjadi payung untuk semua kaum tanpa mengira keturunan bangsa mahupun agama. Dengan status negara berbilang kaum, UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) harus menjadi payung dan peneraju kesejahteraan semua kaum demi memastikan perpaduan kaum terus terpelihara di negara kita. Ini bermakna kaum-kaum lain akan sentiasa menghormati antara satu sama lain dan Melayu sebagai kaum majoriti sentiasa disenangi oleh kaum yang lain.

G. PENUTUP

Akhirnya, biar apapun yang kita laungkan, kita persoalkan mahupun kita hajatkan dalam Perhimpunan Agung kali ini yang dianggap begitu mencabar dengan beberapa polemik yang mungkin sesuai dikaitkan dengan tahun ke-69. Namun, ingatlah perjuangan kita tidak pernah selesai dan jangan sesekali kita mudah lupa bahawa peri pentingnya ketaatan kita sebagai ahli kepada pemimpin. Ini kerana ketaatan kepada pemimpin yang baik adalah tunjang atau asas kepada kerukunan dan penyatuan sebuah parti, apatah lagi parti keramat UMNO iaitu tulang belakang bukan sahaja kepada BN, bahkan telah memayungi negara dan bangsa Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu. Justeru, kami UMNO Sabah mengajak kita semua untuk terus bersatu padu dan janganlah kita terlalu berpolitik, lupakanlah sengketa yang bakal meranapkan impian ahli kita.
Adalah lebih baik kita semua pemimpin UMNO sama ada di peringkat atasan mahupun di peringkat cawangan untuk terus turun padang mendekati ahli dan rakyat, memahami denyut nadi mereka kerana kita tidak boleh berlengah lagi, PRU ke-14 semakin menghampiri kita. Buatlah persiapan dari awal dan mengatur strategi terbaik untuk memenangi hati rakyat dan seterusnya memenangi pilihan raya itu kelak.
Sungguhpun demikian, UMNO Sabah juga berharap agar segala dasar ataupun polisi yang ditetapkan oleh kerajaan hendaklah sentiasa dipantau, mana-mana dasar yang dianggap membebankan rakyat hendaklah dipertimbangkan semula demi memenuhi keperluan rakyat yang berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Jagalah hati ahli dan rakyat di kawasan masing-masing kerana kunci kejayaan sebenar kita adalah di kawasan masing-masing, sebagai tapak atau asas untuk membina sebuah kerajaan yang utuh di bawah lembayung UMNO dan Barisan Nasional. Luruskanlah yang bengkok, jangan biarkan ia patah, buanglah yang keruh ambillah yang jernih, demi maruah agama bangsa dan negara.
 Demikianlah perbahasan saya pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini, dan dengan ini UMNO Sabah mohon menyokong...

" Semuanya Ada di Balung"..