21 Dec 2015

Semua Jentera Kerajaan Diharap Fahami Dan Terap Prinsip Maqasid Syariah


KOTA KINABALU, 21 Dis – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berharap semua jentera kerajaan negeri dapat memahami prinsip-prinsip Maqasid Syariah dan sedaya upaya menerapkannya dalam apa juga dasar dan program kerajaan.
Beliau berkata usaha penerapan Maqasid Syariah adalah selaras dengan tuntutan ajaran Islam yang amat menitikberatkan aspek ‘itqam’ (kesempurnaan) dan ketelusan dalam apa jua lapangan kehidupan termasuk soal pengurusan pentadbiran dan kepimpinan.
Katanya penerapan berkenaan juga adalah sesuai dengan hala tuju Indeks Syariah Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Feb lalu iaitu untuk menilai keseriusan kerajaan dalam melaksanakan Maqasid Syariah dalam pentadbiran.
Melalui Indeks Syariah Malaysia, lebih banyak manfaat hasil penerapan nilai-nilai sejagat dalam Islam dapat diterima oleh rakyat tanpa mengira agama, katanya pada Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia peringkat negeri di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Rujukan utama Indeks Syariah Malaysia adalah berdasarkan penyempurnaan lima aspek dalam Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Berdasarkan lima aspek ini, ukuran dan penilaian akan dapat dibuat bagi memastikan dasar dan program yang dibuat kerajaan selari atau tidak dengan apa yang terkandung dalam Maqasid Syariah,” kata Ketua Menteri.
Menurut Musa, sejak mencapai kemerdekaan pelbagai usaha dan strategi dibuat oleh Malaysia dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara sama ada dalam politik, undang-undang, ekonomi, pendidikan dan sosial dan sudah tiba masanya untuk mengukur secara saintifik usaha tersebut mengikut acuan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya usaha kerajaan untuk menjayakan pendekatan Indeks Syariah Malaysia berkenaan belum memadai tanpa sokongan dan dukungan semua pihak di semua peringkat terutamanya pemimpin organisasi, jabatan, daerah mahupun kampung.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohd Arifin berkata pihaknya amat mengalu-alukan program Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia dan berharap peserta yang terdiri daripada pemimpin badan bukan kerajaan dan ketua-ketua jabatan dapat menyebarkan maklumat mengenai Indeks Syariah Malaysia kepada semua lapisan masyarakat.
“Yang sangat penting ialah tujuan kita adalah untuk kebaikan semua tanpa mengira agama, bangsa dan sebagainya kerana ini adalah untuk kepentingan bersama,” katanya.