KUALA LUMPUR, 11 Feb – Ketua UMNO Bahagian Ampang , Datuk Ismail Kijo berkata semua ahli dan jentera UMNO jangan terpedaya dan terikut rentak tarian pembangkang sebaliknya perlu terus fokus dalam mengatur strategi untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Jelasnya perkara itu mesti diutamakan dalam keadaan parti pembangkang yang terus bertelagah sesama sendiri dalam merebut jawatan dan kawasan pilihan raya.
“Jentera UMNO mesti terus fokus memenangkan parti. Biarkan pembangkang terus bergelut dalam kemelut pertelingkahan sesama mereka. Mereka nak rebut kawasan, nak tikam rakan mereka.. itu sememangnya gaya politik pembengkang. Bagi kita yang penting fokus kita nak persiapkan jentera yang mantap bagi berdepan pilihan raya akan datang”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas kenyataan Parti Amanah yang mahu bertanding di semua kerusi Pas di Selangor atas alasan bimbang kerusi tersebut jatuh ke tangan UMNO.
“Mereka boleh katakan apa sahaja, kaitkan UMNO dalam apa juga keadaan. Itu memang cara mereka tikam orang lain demi kepentingan peribadi tetapi pada akhirnya mereka akan berubah, bergabung bersama semata-mata untuk menjatuhkan UMNO.
“Bagi saya, hasrat Parti Amanah itu hanya satu retorik politik mengelirukan rakyat. Nanti mereka pasti akan membahagikan kerusi sesama mereka. Tetapi jika benar mereka mahu bertanding menentang Pas, sudah pasti ini memberi kelebihan kepada UMNO kerana undi mereka akan berpecah sedangkan UMNO tidak,” ujarnya.
Tambah Ismail, apa yang pasti, Dap tidak akan berdiam diri dan membiarkan Parti Amanah menguasai semua kerusi tersebut memandangkan kini Dap telah mengenalpasti calon-calon dari kalangan bangsa Melayu bagi bertanding atas tiket parti itu.
“Secara peribadi saya sediki tpun tidak kisah jika mereka mahu bertembung sesama sendiri… Ini memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO tetapi percayalah, semua ini hanya satu lakonan terhebat pembangkang.
“Lihat sahaja sebagai contoh semasa bantahan TPPA di Padang Merbok baru-baru ini, walaupun Pas tidak sebulu dengan Pakatan Harapan tetapi mereka turut serta dalam demo tersebut. Ini jelas menunjukkan mereka ini sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa.
“Sekarang ini yang penting, biarkan sahaja mereka terjun dengan labu-labunya… Kita pula terus fokus dan menari hanya mengikut rentak yang dipalu oleh panglima kita. Jangan sesekali kita terpesong hanya kerana terpedaya dengan sandiwara pembangkang,” katanya lagi. – MediaUMNO