Assalamualaikum Tun,
Saya berdoa semoga Tun dan keluarga berada di dalam kesihatan yang baik di samping amal ibadah diterima Allah SWT.
Semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri, saya telah beberapa kali mengutus surat kepada Tun, dan setiap surat saya itu Tun membalasnya. surat-surat Tun itu masih boleh dibaca di dalam buku saya ini.
Dan pertemuan eksklusif berdua sahaja di antara saya dengan Tun di bangunan Petronas pada 29 Ogos 2012 di sini banyak berkisar mengenai isu-isu semasa di dalam negara kita dan juga UMNO.
Sewaktu saya di usia 20an, saya sudah membaca buku "Menghadapi Cabaran"ini malah saya bertemu dengan ustaz Syed Hassan Al-Attas yang membantu Tun memeriksa buku berkaitan agama Islam itu.
Malah buku ini menjadi inspirasi kepada saya untuk mengubah bangsa saya di Sabah dengan menghasilkan buku yang hampir sama ini
Buku terbaharu saya ini pula adalah tesis sarjana saya di Universti Malaya yang belum diterbitkan.
Apabila Tun M merasakan diketepikan di dalam banyak hal oleh pentadbiran Pak Lah dahulu, saya telah mengutus surat panjang lebar memujuk Tun supaya bersabar kerana dalam hal-hal pentadbiran kerajaan dan politik (politic and government), bukannya suatu perkara yang mudah untuk menyelit di dalam kesukaran nasional dan global. Dalam hal ini, Tun berjaya melakukannya dengan mengenepikan asakan-asakan luar negara.
Saya teringat dua tahun lalu, apabila saya diberitahu oleh seorang pembesar luar negara, bahawa penguasa polis dunia telah menelefon pemimpin jiran tetangga kita untuk menekan Perdana Menteri kita dan menekan kerajaan negara kita. Namun begitu, mereka gagal kerana rakyat kita bersatu. Dan saya berjaya menjalankan misi dengan cemerlang.
Tun M yang dihormati,
Sayugia dimaklumkan, kami di dalam kerajaan, tidak pernah menerima apa-apa arahan untuk memburukkan, menekan atau memalukan Tun. Malah Perdana Menteri tidak pernah memberi arahan untuk menghentam atau memalukan Tun.
Politik dan kerajaan, ataupun UMNO dan kerajaan adalah dua institusi yang berbeza. Masalah yang berlaku di dalam UMNO tidak akan menjejaskan misi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Cara Tun berpolitik dengan cara Pak Lah amat berbeza, manakala cara Tun berpolitik dengan DS Najib hampir-hampir sama. Apakah persamaan-persamaan itu. Persamaan-persamaan itu ialah keyakinan, keberanian dan kematangan. Namun skil berubah kerana zaman juga telah berubah terutama ke-beyond zaman siber tanpa sempadan.
Saya menulis surat ini mudah-mudahan Tun akan terbuka hati untuk bertemu dengan DS Najib. Namun, ketahuilah bahawa pertemuan itu sangat-sangat dibenci oleh musuh-musuh Islam, musuh-musuh orang Melayu, kerana mereka tahu pertemuan itu adalah pertemuan yang akan menjahanamkan motif belakang tabir mereka.
Masihkah Tun ingat di hujung tahun 1970an dahulu. Ketika Tun bersama-sama Tun Razak menaiki teksi ke rumah ayah Pak Lah. Masih kah Tun mengingati masakan yang dimasak oleh ayahanda Pak Lah ketika itu. Ketika itu, Tun dan Tun Razak melakukan misi memujuk ayah Pak Lah. Akhirnya dengan cara Islam dan cara Melayu misi itu membawa kejayaan.
Saya percaya Tun tidak menolak untuk mengadakan pertemuan dengan DS Najib. Saya bersedia menjadi orang tengah. Saya menulis surat ini bukan oleh arahan sesiapa. DS Najib tidak memberikan apa-apa arahan kepada saya. Saya ikhlas mahu membawa penyatuan yang dituntut oleh agama Islam dan didambakan oleh orang-orang Melayu.
Jika dahulu saya bertemu Jusuf Kalla (2013) di sini untuk menyelamatkan kerajaan dan negara kita. Hari ini, saya mahu bertemu Tun untuk mempertemukan dengan DS Najib juga untuk menyelamatkan kerajaan dan negara kita. Semoga Tun diberikan hidayah oleh Allah SWT dalam hal ini.
Baca seterusnya di sini