17 Jun 2016

Rafizi Patut Cermin Muka… Dia Pun Bukan Orang Pandan – Ketua Puteri



KUALA KANGSAR, 17 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli patut mencermin dirinya sebelum mempertikaikan calon Barisan Nasional (BN) bukan anak tempatan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
Jelasnya Rafizi yang berasal daripada Kemaman Terengganu juga merupakan ‘orang luar’ dan bukan berasal daripada Pandan.
“Bagi saya mereka sudah tidak ada modal. Rafizi mencanang buat apa bagi muka kepada calon BN di sini. Dia perlu ingat dia bukan orang Pandan tetapi jadi Ahli Parlimen Pandan. Jadi cakap biar serupa bikin.
“Saya nak bagi peringat kepada Rafizi, wakil kita Datuk Rizal Mansor (Setiausaha isteri Perdana Menteri) nak jumpa pun dia lari jadi faham-fahamlah.. kalau pandai cakap pandailah bersemuka,” ujarnya kepada UMNO-Online selepas merasmikan program Moh Shopping Raya anjuran Pergerakan Puteri UMNO Perak di Kuala Kangsar.
Tambahnya lagi, apapun tohmahan yang dilemparkan oleh Rafizi, masyarakat tidak perlu ambil pusing kerana antara merekapun bertelagah sesama sendiri seperti contoh isu ‘perang antara Rafizi dan Menteri Besar Selangor Azmin Ali.
Apa yang penting katanya, seluruh jentera parti terutamanya jentera Puteri harus melipatgandakan usaha di saat-saat kritikal menjelang hari mengundi pada 18 Jun ini.
“Masa kritikal ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh setiap ahli dan jentera Puteri untuk lipat gandakan usaha.
“Paling penting dapat bawa keluar pengundi seramai mungkin. Saya lihat kerjasama dan koordinasi yang terjalin antara Puteri pusat, negeri dan tempatan cukup baik.
“Oleh itu saya yakin dan percaya sekiranya kita dapat mengekalkan momentum seumpama ini maka tidak ada masalah untuk BN kekalkan kemenangan di Kuala Kangsar ini,” katanya lagi. – MediaUMNO