9 Jun 2017

Parti Baharu Di Sabah Hanya ‘Kocakan Kecil’ Yang Cuba Nafi Jasa UMNO dan BN – Rosnah



PAPAR, 8 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Rashid Sirlin menyifatkan penubuhan beberapa parti baharu di Sabah termasuk Parti Warisan yang diketuai bekas Naib Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Shafie Afdal sebagai ‘kocakan biasa’ dalam menidakkan sumbangan UMNO kepada rakyat Sabah selama ini.
Walaupun dilihat sebagai ‘kocakan ataupun ancaman kecil’ namun beliau menggesa ahli UMNO untuk meneruskan kerja-kerja parti bagi menangkis usaha pihak pembangkang dalam mengelirukan rakyat khususnya di Sabah ini kononnya pemimpin UMNO tidak mampu membawa kemajuan di negeri ini.
“Di Sabah ini isunya agak berbeza sedikit, pihak pembangkang mainkan isu tanah, pemilikan tanah dan sebagainya namun kita faham dan tahu bahawa mereka (pembangkang) juga tidak akan mampu menyelesaikan isu tersebut namun mereka tetap menaburkan janji-janji manis untuk memikat hati rakyat Sabah bagi menyokong mereka.

“Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Sabah sudah cukup matang untuk menilai antara kaca dan permata kerana mereka sudah mengenali dan tahu di sebalik kepimpinan parti baru siapa orangnya.
“Kalaulah beliau benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat Sabah, seharusnya beliau melakukannya ketika beliau memegang jawatan kanan (menteri kanan) yang bukan diberikan tanggungjawab kecil tetapi jawatan Menteri Luar Bandar yang boleh mengubah negeri Sabah tetapi beliau memilih untuk tidak bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri kerana sikap peribadinya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Papar.
Sehubungan dengan itu tegas beliau rakyat kenalah menilai sikap pemimpin pembangkang yang ada sekarang ini, dalam menentukan masa depan rakyat khususnya di negeri Sabah ini.
Beliau juga menggesa jentera UMNO dan BN tidak lagi dengan bersikap bertahan sebaliknya pendekatan menyerang pembangkang harus dijadikan senjata utama khususnya dalam gerak kerja dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-14 dalam masa yang terdekat ini.
“Kita akan meneruskan kerja-kerja parti, bertemu rakyat, menyelesai ataupun sekurang-kurangnya mengurangkan beban yang dihadapi rakyat, turun sehingga ke akar umbi menerangkan polisi mahupun inisiatif yang telah dijalankan oleh kerajaan mahupun parti,” tambahnya lagi. -MediaUmno