7 Aug 2017

Anggota UMNO, BN Sabah Perlu Berani Jelaskan Sumbangan Kerajaan - Salleh




KOTA KINABALU, 5 Ogos (Bernama) --  Anggota UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah perlu berani menjelaskan sumbangan dan kejayaan kerajaan yang diterajui UMNO dan BN dalam membangunkan negeri itu kepada rakyat, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata ini kerana terlalu banyak sumbangan UMNO dan BN yang kini dinikmati rakyat Sabah namun kurang diketahui.

"Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, jelas bahawa kita telah maju ke depan dan ini adalah fakta yang kita boleh terangkan kepada masyarakat termasuk di Penampang ini.

"Kalau kita lihat dari segi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar Sabah,  pada 2010 ialah RM58.1 bilion, 2011  sebanyak RM59.3 bilion;   RM66.3 bilion  pada 2015 dan RM70.4 bilion pada 2016," katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Penampang di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Penampang Datuk John Ambrose.

Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah itu, dari segi pendapatan perkapita rakyat pula,  pada 2010 ialah RM17,831;  RM18,932 (2011) dan RM19,730 (2015).

Dari segi kadar kemiskinan pula kata Salleh,  kadar kemiskinan di Sabah pada 2009 ialah 19.7 peratus; 8.1 peratus (2012); 4.0 peratus (2014) dan 3.4 peratus (2016).

"Ini angka-angka yang sahih. Ini fakta. Ini perlu kita terangkan kepada masyarakat kita di Sabah ini, apatah lagi di kawasan Penampang. Kita tidak boleh takut memberi penjelasan kerana  kita berkata yang benar. Ini fakta.

"Gabenor Bank Negara sendiri mengatakan bahawa di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk (Seri) Musa Aman, ekonomi Sabah bergerak maju. Ini (laporan) Bank Negara. Laporan Ketua Audit Negara pula (menyebut bahawa) tiga tahun berturut-turut Pengurusan Kewangan Sabah 'Amat Baik'," katanya.

Menurut Salleh segala fakta mengenai pencapaian kerajaan BN perlu dijelaskan bagi menangkis segala tohmahan parti-parti pembangkang yang sentiasa memutarbelitkan fakta seolah-seolah kerajaan tidak melakukan apa-apa.

Katanya anggota UMNO dan BN juga perlu mendedahkan segala kelemahan parti-parti pembangkang termasuk kegagalan mereka menyumbang kepada rakyat agar rakyat dapat memahami dan membezakan antara pembangkang dan parti pemerintah.

"Di Penampang ini apa yang pembangkang lakukan? Mereka cuma berpindah parti. Dulu dalam Parti Keadilan Rakyat sekarang dalam parti Warisan. Apa sumbangan mereka kepada rakyat? Yang telah memberi sumbangan ialah BN," tegas Salleh.

Salleh juga menolak tanggapan pembangkang kononnya merekalah yang menjuarai perjuangan hak-hak Sabah melalui slogan 'Sabah untuk Orang Sabah'  sedangkan perjuangan untuk tujuan itu sebenarnya telah dilakukan sejak dahulu oleh pemimpin dari Sabah dalam kerajaan BN.

Katanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pemimpin dan rakyat Sabah diberi ruang untuk menyuarakan kehendak dan pandangan mereka dan  Najib sedia mendengar serta berunding mengenai perkara berkenaan.

Malah kata Salleh,  tidak pernah dalam sejarah tiga pemimpin daripada kaum Kadazandusun dan Murut (KDM) dilantik sebagai menteri penuh dalam dalam kabinet persekutuan kecuali pada zaman kepimpinan Najib dan ia merupakan pengiktirafan kepada KDM.

Mengenai kawasan Parlimen Penampang pada pilihan raya umum akan datang, Salleh yakin  BN boleh merampas semula kerusi berkenaan sekiranya semua komponen parti BN bekerja sebagai satu pasukan.

--BERNAMA            

No comments: