17 Jul 2016

Parti Baru Hanya Parti Cetusan Kecewa Gagal Jatuhkan Perdana Menteri




TEMERLOH, 15 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin mengucapkan tahniah dan selamat berjumpa di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sekiranya benar bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan sekutunya mahu menubuhkan parti baru.
Jelasnya, negara ini adalah sebuah negara demokrasi dan tidak pernah menyekat mana-mana kumpulan mahupun individu yang mahu menubuhkan parti baru. Selagi mereka mempercayai idealisme dan hala tuju perjuangan yang mereka bawa itu dapat menyakinkan rakyat, maka mereka boleh meneruskan hasrat tersebut.
Namun jelasnya, rakyat harus sedar bahawa mereka yang menubuhkan parti baru ini adalah dek kerana cetusan daripada kekecewaan kerana tidak dapat menjatuhkan perdana menteri negara ini.
“Rakyat kena faham, mereka yang akan tubuhkan parti baru ini contohnya Tun Mahathir adalah cetusan daripada kekecewaaan mereka yang mahu jatuhkan perdana menteri negara ini dengan semua cara.
“Mereka cuba melalui UMNO tidak berjaya, melalui parlimen tidak berjaya… cuba juga melalui demontrasi jalanan juga tidak berjaya.. melalui parti pembangkangpun tidak berjaya.. maka akhirnya mereka rasakan cara terakhir adalah dengan menubuhkan parti baru.
“Jadi saya ucapkan selamat berjaya dan berjumpalah di pilihan raya nanti. Apa yang pasti kita UMNO tidak berasa tergugat atau risau kerana sejak tahun 1946 lagi, macam-macam parti telah ditubuhkan di negara ini tapi UMNO masih lagi dapat kepercayaan daripada rakyat,” jelasnya kepada UMNO-Online.
Apa yang penting jelas beliau, kepimpinan UMNO akan meneruskan kerja untuk mendekati rakyat, menyelesaikan masalah rakyat dan dalam masa yang sama terus memberi harapan kepada rakyat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih lagi merupakan sebuah parti yang relevan untuk diyakini dengan ‘track record’ yang cemerlang. – MediaUMNO

No comments: