Keyakinan itu dinyatakan Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarham Humaizi Abdul Halim yang mana beliau menyifatkan kepimpinan tertinggi parti sudah tentunya mengambil kira pelbagai sudut sebelum mengemukakan cadangan berkenaan sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.
Malah, pihaknya sendiri akan memberikan sokongan kepada kepemimpinan tertinggi parti sekiranya cadangan berkenaan benar-benar dilaksanakan termasuk memastikan calon yang dipilih untuk bertanding di kawasan bukan Melayu mencapai kejayaan yang diharapkan.
“Buat masa ini cadangan tersebut sedang diteliti dan belum ada keputusan rasmi mengenainya. Namun, kita percaya cadangan yang dibangkitkan itu dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek oleh pucuk pimpinan.
“Malah di Selangor sendiri, jika cadangan ini dilaksanakan kita akan menyokong penuh keputusan pucuk pimpinan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Abdul Hadi selepas menghadiri program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Pas di Kuala Pilah mengumumkan rancangan parti meletakkan calon dalam kalangan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di kawasan bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Menurut Abdul Hadi, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat kajian mendalam mengenai cadangan tersebut yang mana peletakan calon daripada DHPP adalah untuk berhadapan dengan bekas sekutunya, DAP termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) yang sebelum ini mengumumkan akan meletakkan calon untuk bertanding di kawasan yang ditandingi Pas.
Malah, Ahli Parlimen Marang itu turut menyatakan kriteria bagi membolehkan calon dalam kalangan DHPP itu hendaklah mereka yang merupakan penyokong dan pejuang tegar Pas. – UTUSAN