MO, KUALA LUMPUR, 18 /11/2015– Malaysia sedang menunggu maklumat rasmi dari Filipina berhubung kesahihan laporan kononnya seorang rakyat Malaysia dipenggal oleh kumpulan militan di Mindanao, semalam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa Filipina berhubung laporan tersebut yang diperolehi berdasarkan maklumat risikan tentera Filipina.
“Kita perlu sahkan secara rasmi perkara tersebut terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN+ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu.
Media antarabangsa melaporkan seorang jurutera Bernard Then, 39, dipenggal kepalanya selepas sekumpulan lelaki bersenjata menculik mangsa di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah, 15 Mei lepas.
Dia dilaporkan dipenggal di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.
Bernard, yang berasal dari Sarawak, diculik oleh kumpulan militan tersebut bersama pengurus restoran, Thein Nyuk Fun, 50. Bagaimanapunm Thien dibebaskan pada 8 Nov lepas.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam entri Facebooknya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan tersebut dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam tindakan kejam, tidak bertamadun, ganas serta tidak berperikemanusiaan itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kementerian menyambut baik cadangan agar hukuman gantung mandatori dalam Akta Dadah Merbahaya 1952 dipinda.
Katanya Malaysia akan mengikut langkah kebanyakan negara yang sudah mengubah sistem mati mandatori terhadap pengedar dadah namun pada ketika ini apa yang penting adalah langkah pencegahan dan pemulihan.
Pindaan undang-undang memansuhkan hukuman mati mandatori terhadap pesalah dadah dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat bulan Mac tahun hadapan, demikian dilaporkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukry berkata keputusan itu diambil selepas persetujuan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment