MO, KUALA LUMPUR, 18/11/2015 — Dorongan utama bagi negara dagang seperti Malaysia menyertai pakatan perdagangan bebas seperti Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bukan semata-mata bertujuan untuk melindungi industri tempatan, bahkan yang lebih penting adalah untuk mendapatkan pasaran baharu eksport.
Sebagai negara berorientasikan eksport, Malaysia tidak mempunyai pilihan, melainkan menyertai FTA serantau dan dunia, terutama apabila rakan dagang utama terlibat.
Berikutan pasaran tempatan yang kecil, dagangan antarabangsa akan terus menjadi ciri utama landskap ekonomi Malaysia, dan atas hakikat itulah Kuala Lumpur tidak boleh meminggirkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia akan mengalami kerugian disebabkan kecenderungan dipencilkan.
Ini lebih-lebih lagi disebabkan dagangan dan liberlisasi yang merupakan faktor penting untuk pembangunan, tidak semata-mata hanya untuk memastikan pertumbuhan ekonomi.
Yang lebih penting ialah kesan limpahan, terutama pemindahan teknologi dan pembentukan modal ketara dan tidak ketara yang memberi impak jangka panjang ke atas pertumbuhan.
Selain itu, ia turut mewujudkan perhubungan yang lebih kukuh dengan rakan dagang, menggalakkan pelaburan, meningkatkan produktiviti selain memperkukukuh daya saing dan inovasi.
Rundingan TPPA, yang diketuai Amerika Syarikat dan dianggotai Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru dan Vietnam, dimuktamadkan di Atlanta bulan lepas.
Meskipun ia menjadi topik hangat perbincangan serta mendapat pelbagai kritikan, terutama oleh institusi politik, masih terlalu awal untuk menentukan untung ruginya penyertaan dalam TPPA.
Namun, kita pasti ini bukan FTA terakhir, dan andai kita menandatangani dokumen 6,000 muka surat itu, ia tidak akan memberi kesan ke atas rundingan FTA besar yang lain seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
RCEP, rundingan utama serantau Asia, sebaliknya turut melibatkan negara anggota ASEAN, selain Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
Sudah pasti kedua-dua RCEP dan TPPA akan membuka peluang besar dalam perdagangan, dari segi pasaran dan eksport baharu.
Namun, Malaysia mesti memastikan perancangan rapi dalam melaksanakan pelbagai komitmen yang dibuat dalam FTA-FTA sedia ada bagi memastikan ia sentiasa konsisten pada masa depan.
Malaysia kini sudah menyelesaikan tiga FTA dua hala – Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun yang dimeterai pada 2004, FTA Malaysia-Pakistan (November 2007) dan FTA Malaysia-New Zealand (Oktober 2009).
Malaysia, sebuah ekonomi berorientasikan eksport, terus aktif menjayakan perjanjian perdagangan di pelbagai peringkat, setiap satu mempunyai komitmen yang tidak selaras, bagi menggalakkan aliran bebas perdagangan, dengan negara lain serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Sebagai contoh, ia menjalin FTA pelbagai tahap dengan negara seperti Australia dan New Zealand, yang diwujudkan secara pelbagai hala dan di peringkat ASEAN.
Selain itu, Australia dan New Zealand juga merupakan sebahagian daripada rundingan TPPA dan RCEP, jelas menunjukkan bahawa rundingan FTA tidak akan berhenti.
Namun, kerajaan perlu berhati-hati semasa menimbang untuk menyertai perjanjian perdagangan serantau yang melibatkan negara Utara-Selatan, seperti TPPA, memandangkan ia akan mengehadkan ruang untuk berunding bagi negara secara individu disebabkan anggota prospektif digesa untuk menerima perjanjian yang sudah dirundingkan.
Selain skop dan liputan yang menyeluruh, TPPA juga melibatkan komitmen yang lebih mendalam dan kukuh, melepasi peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Oleh itu, kedudukan Malaysia dalam beberapa sektor tertentu mungkin berbeza dalam pelbagai FTA meskipun melibatkan rakan dagang yang sama, sekali gus memerlukan komitmen yang konsisten.
Tidak dinafikan bahawa lebih banyak masa diperlukan untuk memahami impak penuh TPPA ke atas Malaysia, dan sama ada FTA lain yang sedang dirundingkan akan bertindih antara satu sama lain.
Apa pun kedudukannya, kita tidak boleh menolak FTA, terutama TPPA, disebabkan ia membabitkan dagangan global dengan negara-negara, ada yang merupakan rakan dagang utama Malaysia.
Pujian mesti diberikan kepada Kerajaan Malaysia yang memperjuangkan hak Malaysia, termasuk kepentingan Bumiputera, terus dilindungi.
Justeru, TPPA wajar dilihat dalam perspektif yang positif dan diberikan masa sewajarnya untuk berevolusi sebagai mekanisme perdagangan yang memberi manfaat kepada Malaysia dan rakan dagang dalam tempoh yang lama, meskipun berhadapan cabaran dan masalah dalam jangka pendek.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment