Wakil mereka, Datuk Mohd. Yusof Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah berkata, semua 188 ketua UMNO bahagian turut menyatakan solidariti untuk berjuang dan mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada serangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan DAP, PKR dan PAN demi kepentingan politik mereka.
Beliau berkata, mereka juga sepakat menandatangani deklarasi yang mengandungi lapan perkara sebagai bukti sokongan tersebut dan mengutuk cubaan pakatan itu yang berniat menjatuhkan pemimpin negara kerana jelas bertentangan dengan amalan demokrasi.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya dan amat kesal serta kecewa dengan tindakan Dr. Mahathir yang mengepalai pakatan itu tanpa mempedulikan kesan dan implikasi perbuatannya kepada rakyat dan negara.
“Kami mendesak kerajaan bertindak tegas, menguatkuasakan segala peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menggugat sistem pemerintahan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat yang dihadiri sebanyak 147 ketua UMNO bahagian bagi menyatakan sokongan kepada Najib.
Mohd. Yusof berkata, semua yang hadir menandatangani deklarasi itu manakala selebihnya menyatakan sokongan kecuali Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Katanya, mereka turut mengutuk tindakan Muhyiddin dan Mukhriz yang sanggup bersubahat dengan agenda pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri secara tidak demokratik.
“Kami mendesak Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan disiplin yang tegas kepada ahli parti yang terlibat dalam pakatan Dr. Mahathir dan bersekongkol dengan pembangkang.
“Kamu berjanji dan berikrar akan berusaha keras memelihara keharmonian rakyat pelbagai bangsa, agama dan memimpin rakyat di kawasan masing-masing untuk mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” tegasnya.
Menurut beliau, kerajaan diminta segera menamatkan setiap jawatan yang dipegang oleh mana-mana pemimpin sama ada dalam kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC) sekiranya mereka cuba mempersenda, merosakkan sistem pemerintahan dan melanggar kedaulatan undang-undang.
Tambahnya, mereka turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas dan menghalang perhimpunan haram yang cuba diadakan oleh kumpulan pakatan tersebut dalam usaha mereka menghasut fikiran rakyat.