18 Jun 2016

10,000 Anggota UMNO Tawau Belum Berdaftar Sebagai Pemilih – Tawfiq






TAWAU, 18 Jun – Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mahu kira-kira 10,000 anggota parti di bahagian itu yang belum berdaftar sebagai pemilih agar segera berbuat demikian.
Beliau berkata tidak ada erti jika hanya berdaftar sebagai anggota UMNO tetapi tidak boleh mengundi kerana gagal memanfaatkan kekuatan sebagai anggota parti yang sepatutnya menjadi pendukung kepada kemenangan parti pada setiap pilihan raya.
Sehubungan itu, Tawfiq menggesa semua ketua cawangan mengambil tindakan drastik memastikan semua anggota di setiap cawangan yang belum berdaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berbuat demikian sebelum 31 Julai ini.
“UMNO Tawau mempunyai 20,000 anggota tetapi terdapat 10,000 anggota UMNO yang layak mengundi tetapi tidak mengundi,” kata Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya untuk pemimpin masyarakat beragama Islam di kawasan Parlimen Tawau di sini hari ini.
Beliau juga mahu jentera UMNO Bahagian Tawau untuk sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Tawfiq juga berharap pemimpin-pemimpin UMNO menjadikan Ramadan sebagai bulan perpaduan, kesatuan dan mengeratkan silaturahim.

No comments: