2 Jun 2016

Tidak sangka 'bye' perkataan terakhir kepada saya - Nurulhidayah



 ISTERI Allahyarham, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid kelihatan sedih sambil memeluk ibunya, Datin Seri Hamidah Khamis semasa majlis pengebumian jenazah suaminya Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi di Tanah Perkuburan Sungai Ramal Luar, Kajang. - Foto Ghazali Kori



KAJANG: "Saya tidak menyangka 'bye' (selamat tinggal) yang diucapkan pagi semalam (kelmarin), perkataan terakhirnya kepada saya," kata anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang mengimbau kenangan terakhir bersama Allahyarham suaminya, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi.

 Nurulhidayah berkata, Syed Alman, 44, berkata demikian ketika keluar ke tempat kerja dari rumah mereka di Country Heights di sini, sebelum menerima berita kematian suaminya kira-kira jam 8 malam kelmarin.

 "Selalu dia akan berkata ok ketika hendak keluar bekerja, namun pagi semalam (kelmarin) dia mengucapkan bye. Saya pada mulanya tidak menyangkakan apa-apa, namun selepas menerima panggilan telefon daripada rakan memberitahu suami saya sudah meninggal dunia, baru saya terfikirkan perkataannya itu. 

"Saya amat sedih kerana itu adalah kali terakhir saya berjumpa dengannya. Arwah seorang yang baik, penyayang dan seorang ayah yang bertanggungjawab," katanya sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Luar di sini, hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menziarahi jenazah Syed Alman di Surau An-Nur, Country Heights, sebelum solat jenazah disempurnakan ratusan jemaah.

 Mereka sebelum itu disambut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di surau berkenaan pada jam 8.45 pagi. 

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Luar untuk dikebumikan. Yang turut hadir mengiringi jenazah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, ahli keluarga dan rakan. 

Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri ketika membuat rawatan gusi di sebuah klinik pergigian di Bangsar kira-kira jam 7 malam kelmarin. 

Berikutan itu, beliau dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia. 


Syed Alman meninggalkan seorang balu, dan lima anak iaitu Syed Syazani Syahiran, Syarifah Syazana Syahirah, Arjuna Iskandar, Syed Alwi dan Sharifah Sofia Khadeeja.




No comments: