KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, bahawa UMNO tidak lagi akan bersikap defensif terhadap serangan-serangan pihak pembangkang sebaliknya akan bertindak lebih ofensif dengan menyerang pihak pembangkang.
Menurut beliau, sudah sampai masanya hari ini UMNO mesti menghadapi serangan dari pihak pembangkang secara ofensif dan tidak lagi hanya bersikap mempertahankan parti dengan menjawab segala isu-isu yang dibangkitkan oleh isu-isu di pihak pembangkang.
“Dalam mesyuarat penyelarasan ketua-ketua penerangan seluruh Malaysia tadi, kita telah mengambil ketetapan bahawanya adalah sangat perlu dan masanya telah tiba untuk UMNO menukar gear daripada gear defensif kepada gear yang lebih ofensif.
“Hari ini kita ingin memperlihatkan UMNO dan BN berada di medan peperangan di peringkat akar umbi. Maka dengan itu bermula 7 haribulan ini kita akan memulakan siri jelajah penerangan daripada satu negeri ke satu negeri yang akan berjalan secara berterusan dan secara intensif di peringkat bahagian.
“Kita merasakan tidak ada satu perkara pun yang tidak boleh kita pertahankan kepada rakyat. Malah kita merasa bimbang dengan peperangan persepsi ini yang begitu banyak sekali persepsi negatif yang tidak menggambarkan situasi yang sebenar,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Ketua-ketua Penerangan di PWTC di sini hari ini.
Justeru itu, beliau menyeru kepada semua kepimpinan UMNO untuk mempergiatkan usaha mereka untuk mendekati rakyat dalam usaha untuk memperbetulkan segala persepsi negatif yang dilemparkan pihak pembangkang terhadap UMNO dan kerajaan BN.
“Apa-apa juga persepsi negatif yang kita hadapi hendaklah menjadi satu cabaran yang bersahut oleh jentera UMNO di semua peringkat. It is now or never.
“Kita mahu melihat kebangkitan jentera UMNO di semua peringkat untuk berhadapan secara penuh keyakinan membawa mesej parti, dasar perjuangan parti isu-isu yang dilemparkan terhadap parti”, ujarnya.
Dan rakyat yang diluar sana tambah beliau ingin melihat, mendengar dan ingin tahu tentang perkara-perkara ini.
“Adalah hak kepada rakyat untuk berkongsi maklumat dengan kerajaan,” katanya.
Pada masa yang sama tegas beliau lagi, jelajah penerangan ini perlu dipanjangkan sehingga melibatkan parti-parti di bawah BN.
“Jadi kita menyeru agar pemimpin BN janganlah menuding jari sesama sendiri. Cakap-cakap seperti orang itu la lemah, orang itu la kuat mesti dihentikan. BN mesti tampil sebagai satu saf bersama.
“Maka selepas daripada jelajah UMNO ini, kita juga akan mengadakan program-program secara bersama dengan rakan-rakan parti komponen yang lain.
“Kalau ada kelemahan mana-mana parti komponen, kita akan saling bantu membantu. Jangan kita sendiri yang lemahkan parti rakan-rakan kita. Biarpun perkara itu hanya berlaku di dalam blok pembangkang yang cuba mempergunakan antara satu sama lain,” ujarnya.
Tambah beliau, parti-parti komponen di dalam BN atau sebelum ini Perikatan telah banyak mengharungi cabaran demi cabaran bersama dan seharusnya semua parti komponen BN pada hari ini, mesti terus bergerak ke hadapan untuk memastikan BN terus kekal berkhidmat kepada rakyat di negara ini.- MediaUMNO
No comments:
Post a Comment