24 Jan 2016

Salleh Mahu Pemimpin BN Kota Belud Pastikan Kemenangan Di Kadamaian Pada PRU14


KOTA KINABALU, 23 Jan — Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu pemimpin Barisan Nasional (BN) Kota Belud bekerjasama rapat untuk memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dikuasai BN pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Semasa membuat gesaan itu, beliau menegaskan pentingnya perpaduan dan kesepaduan dalam kalangan anggota dan pemimpin BN bagi memastikan kemenangan BN di kerusi itu yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Belud.
“Lupakan semua yang berlaku semasa pilihan raya umum ke-13. Peluang BN untuk memenangi kerusi Kadamaian amat berisiko jika anggota dan pemimpin BN tidak bersatu.
“Sebab itu kenapa semua pemimpin dan anggota BN di Kadamaian perlu bersatu dan bekerja keras sebagai sebuah parti untuk merealisasikan misi ini pada pilihan raya umum ke-14,” katanya.
Salleh, selaku Pengerusi BN dan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud berkata demikian dalam mesej beliau kepada pemimpin parti komponen BN Kota Belud, khususnya daripada Kadamaian pada mesyuarat khas di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Datuk Musbah Jamli, ADUN Kadamaian Jeremy Malajad, yang juga Ketua Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian Kadamaian, Ketua UPKO Bahagian Kota Belud Ewon Benedick dan Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kadamaian Dimis Rumanti.
Pada pilihan raya umum ke-13, Jeremy memenangi kerusi Kadamaian atas tiket PKR dengan majoriti 889 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Kemudiannya Jeremy keluar daripada PKR dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong BN, sebelum
menyertai PBRS.

No comments: