15 Jan 2016

Tradisi UMNO Taat Pada Pemimpin



KUALA LUMPUR: Ketaatan kepada pemimpin merupakan tradisi yang menjadi amalan ahli UMNO sejak sekian lama sekali gus menjadikan parti terbesar orang Melayu itu terus kuat.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli parti akan terus menyokong kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Taat setia itu perlu supaya tidak menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang berpecah belah.
“Semua bekas Presiden UMNO pernah melakukan kesalahan tetapi, oleh kerana tradisi yang dipegang iaitu taat setia kepada pemimpin, parti tidak akan berpecah,” katanya selepas merasmikan Kongres Pemerkasaan Luar Bandar di sini hari ini.
Beliau yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengulas ramalan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dipetik oleh portal berita pembangkang bahawa UMNO akan kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Dr. Mahathir membuat ramalan itu dalam satu surat terbuka kepada pemimpin dan ahli akar umbi UMNO yang disiarkan menerusi blog www.chedet.cc.
Tambah Ismail Sabri, golongan yang suka mengutuk pemimpin sendiri hanya menyebabkan parti itu kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Ismail mempertahankan tindakannya yang menganggap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai menderhaka kepada negara.
Menurutnya, beliau mempunyai hak untuk berpendirian sedemikian, begitu juga Nurul Izzah yang berhak menganggap perbuatannya tidak salah dengan berjumpa anak perempuan bekas ketua pengganas Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.
Malah, katanya, dalam perkara ini, terpulang kepada sesiapa sahaja untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk terhadap diri beliau.
-Utusan Malaysia

No comments: