11 May 2016

Pelawa Pas Hanya Helah Politik Selamatkan Kedudukan PKR Di Selangor






KUALA LUMPUR,  – Tindakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memujuk Pas untuk kembali bersama Pakatan Harapan dilihat lebih menjurus untuk menyelamatkan kepentingan diri sendiri terutama kerusi Menteri Besar yang kini boleh diumpamakan sebagai ehsan Pas kepada PKR, demikian pandangan Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.
Malah katanya lagi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini menambahkan lagi kegelisahan kepada PKR khususnya Azmin Ali apatah lagi hubungan parti itu juga ketika ini dengan Dap semakin tegang.
“PKR sebenarnya tiada kekuatan melainkan bergantung kepada ehsan Pas dan Dap.  Dalam keadaan PKR yang makin dingin dengan Dap sudah pasti PKR mengharapkan Pas untuk berpaut.
“Kenyataan memujuk Pas untuk menguatkan Pakatan Harapan hanyalah helah politik semata-mata kerana yang utama adalah menyelamatkan PKR di Selangor terutama kerusi Menteri Besar”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau seterusnya mempertikaikan bagaimana PKR boleh mempelawa Pas sedangkan Dap sedikit pun tidak bersuara untuk menyatakan keinginan tersebut.
“Bukankah Dap adalah parti terpenting dalam membentuk pakatan baru yang dinamakan Pakatan Harapan? Kita yakin tindakan memujuk Pas itu tidak akan berjaya selagi tidak mendapat restu Dap.
“Pada masa yang sama kita juga percaya Pas tidak sebodoh sangkaan PKR yang mahu terus dipergunakan.  Pas juga tidak akan memalukan diri sendiri untuk menyertai pakatan pembangkang tersebut setelah melalui pengalaman dibuli dan dipermainkan rakan pakatan mereka”, ujarnya.
Azmin, yang juga menteri besar Selangor baru-baru ini berkata Majlis Tertinggi PKR secara kolektif meluluskan satu resolusi untuk membuka keanggotaan Pakatan Harapan kepada parti lain bagi mengukuhkan pembangkang.
Justeru beliau mengajak semula Pas untuk menyertai pakatan tersebut tetapi Pas bertegas tidak mahu bersatu kembali melainkan PKR yang keluar daripada Pakatan Harapan dan bergabung bersama Pas dan Ikatan.– MediaUMNO

No comments: