KUALA LUMPUR, 8 Mei – Pola pemikiran dan sikap rakyat yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan situasi semasa menjadi cabaran bagi UMNO untuk memastikan parti itu terus menjadi pilihan.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata pemikiran rakyat yang sukar dijangka, ‘sekejap setuju sekejap tidak’ menyukarkan lagi keadaan untuk memahami setiap kehendak mereka.
“Rakyat zaman dahulu sangat mudah dipimpin. Kenapa? kerana pada masa itu hidup susah, maka sebarang bantuan atau pemberian yang diterima daripada kerajaan, mereka akan dahulukan dengan ucapan terima kasih.
“…tetapi hari ini berbeza apabila rata-rata rakyat sudah hidup senang dan menganggap bantuan kerajaan adalah tanggungjawab pemimpin semata-mata, maka rasa penghargaan kepada kerajaan yang memerintah itu tiada,” katanya bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO pada 11 Mei ini.
Tambah Abdul Aziz, ledakan maklumat di Internet juga mendorong UMNO untuk bekerja lebih keras bagi menangkis persepsi negatif yang secara tidak langsung mempengaruhi corak pemikiran rakyat.
Bagi tujuan itu, beliau berkata UMNO yang sudah bertapak sejak 1946 mesti mempunyai pasukan siber yang kuat sebagai benteng pertahanan untuk berdepan perang saraf yang semakin meningkat, serta menjawab kritikan dan tohmahan secara berilmu, pantas dan matang.
“UMNO tak boleh abaikan setiap komen yang dilemparkan di media sosial, pada masa sama perlu lakukan banyak kajian untuk meningkatkan kekuatan dan memperbaiki kelemahan parti,” katanya.
Jelas beliau, untuk memperkukuh kedudukan parti dan bilangan anggota, UMNO perlu fokus bukan sahaja kepada anggotanya tetapi juga memberi perhatian kepada yang bukan dalam kalangan parti kerana cara itu dilihat lebih ‘lembut’ untuk menawan hati anggota baharu.
Ditanya mengenai penerimaan UMNO dalam kalangan masyarakat dahulu dan sekarang, Abdul Aziz yang pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada 1984 berpendapat masyarakat kini tidak begitu peduli asalkan parti itu dapat memberi keselesaan kepada kehidupan mereka.
“Zaman dahulu lain apabila rakyat sertai UMNO untuk berjuang dan memperolehi kemerdekaan tetapi kini setelah merdeka, mereka (rakyat) lebih memilih untuk menyerahkan tugas menjaga negara kepada pemimpin sahaja,” katanya, menambah hal itu menyebabkan semangat patriotisme rakyat semakin tipis.
Justeru, beliau mencadangkan supaya sistem pendidikan dimantapkan selain menerapkan semangat Rukun Negara dengan bersungguh-sungguh dalam diri pelajar kerana ia adalah manifestasi kecintaan kepada negara.
Mengambil contoh Indonesia, Abdul Aziz berkata, meskipun republik itu mempunyai jumlah warganegara yang ramai namun mereka mudah disatukan dengan pegangan Pancasila.
“Seperti Rukun Negara, Pancasila merupakan ideologi atau dasar yang menjadi pedoman kehidupan bangsa dan bernegara bagi seluruh rakyat Indonesia dan diamalkan dalam sistem pendidikan bermula peringkat prasekolah hingga ke universiti.
“Bahkan terdapat Institut Falsafah Pancasila di universiti yang berfungsi untuk mengkaji wadah serta falsafah perjuangan di Indonesia,” katanya.
Bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO, Abdul Aziz berharap semua anggota parti sentiasa menjiwai semangat perjuangan pemimpin terdahulu dan menjadikannya sebagai aspirasi untuk terus memajukan agama, bangsa dan negara demi generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment