3 Sept 2016

‘Duit Kopi’ Beli Rumah : Tindakan Dap Enggan Buat Siasatan Amat Menghairankan




NIBONG TEBAL, 2 Sept – UMNO Pulau Pinang melahirkan rasa amat kehairanan dengan sikap Dap selaku kerajaan negeri yang tidak mahu menjalankan siasatan dalaman apabila kes perlakuan rasuah melibatkan bapa kepada seorang Adun Dap berikutan tersebar video mengenainya di media sosial didedahkan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, walaupun Dap dan Kerajaan Negeri tidak menafikan perkara ini berlaku dan ia jelas melibatkan bapa kepada seorang Adun dari Dap namun sikap kepimpinan negeri yang enggan menyiasat perkara ini seperti ada yang mahu disembunyikan.
“UMNO Pulau Pinang menggesa Dap untuk tidak bersikap ‘double standard’ bila ada pendedahan yang dibuat berkaitan perlakuan rasuah yang melibatkan anggota parti itu dan juga ahli keluarga terdekat pemimpin atau wakil rakyat Dap.
“Kita juga mengalu-ngalukan tindakan segera Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlakunya kutipan ‘duit kopi’ daripada pemohon-pemohon perumahan Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah yang diagihkan Kerajaan Negeri yang melibatkan bapa kepada seorang Adun Dap ini,” ujarnya menerusi satu kenyataan media kepada UMNO-Online di sini.
Tambah beliau, kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang belum pun mula dibicarakan di Mahkahmah dan kini rakyat negeri ini dikejutkan pula dengan dakwaan perlakuan rasuah oleh bapa kepada seorang Adun Dap.
Pendedahan ini katanya lagi membuktikan bahawa perlakuan rasuah masih berlaku secara berleluasa walaupun Dap mendakwa mereka bersih dan telus menjadi kerajaan negeri di Pulau Pinang.
“UMNO Pulau Pinang difahamkan banyak kes serupa dilakukan oleh pihak-pihak lain tetapi pihak pembeli ataupun pemohon perumahan Kerajaan Negeri terlibat enggan tampil untuk membuat laporan polis atau SPRM kerana mereka masih menaruh harapan akan ditawarkan rumah oleh Kerajaan Negeri pada masa hadapan.
“Sehubungan itu UMNO Pulau Pinang turut menggesa SPRM untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan-dakwaan lain yang melibatkan pemberian wang kopi untuk mendapatkan tawaran rumah daripada Kerajaan Negeri,” katanya.
Justeru itu beliau menyeru kepada rakyat Pulau Pinang yang telah memberikan sokongan kepada Dap sebelum ini agar memikirkan semula sokongan mereka kepada parti itu yang telah terbukti sebenarnya tidak sebersih, sejujur dan seamanah yang mereka lagukan. – MediaUMNO

No comments: