Apakah niat dan motif sebenar penganjuran BERSIH 4.0 dan bersihkah hati penganjur BERSIH 4.0? Sebagai seorang rakyat biasa dan mempunyai kenalan yang bertugas untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara, terdetik di hati saya untuk menulis di ruangan ini bagi membuka mata semua pihak untuk menyelami niat sebenar penganjuran BERSIH 4.0.
Secara peribadi, saya berpandangan kehadiran gerakan sivil di negara ini adalah perlu bagi memastikan wujudnya sistem semak dan imbang dan berupaya menyemarak dan mematangkan lagi sistem demokrasi di negara ini. Kehadiran NGO BERSIH pada awalnya yang berjuang untuk menegakkan lima perkara iaitu pilihan raya adil dan bersih, kerajaan yang telus dan berintegriti, hak untuk berdemonstrasi, memperkukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan prihatin terhadap ekonomi negara adalah sesuatu yang dirasakan relevan dengan persekitaran dunia sekarang.
Melalui tuntutan itu, kerajaan melalui pelbagai agensi dilihat sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil serta komited untuk memenuhi tuntutan itu. Penubuhan beberapa suruhanjaya seperti SPAD dan RCI, pemansuhan undang-undang lapuk seperti ISA dan lain-lain lagi adalah antara beberapa tindakan drastik yang dibuat oleh kerajaan untuk memenuhi tuntutan NGO BERSIH yang berjuang menuntut keadilan dan ketelusan kata mereka.
Namun, di celah-celah penambahbaikan ini, didapati NGO BERSIH melalui beberapa siri perhimpunan mereka terutamanya dalam Perhimpunan BERSIH 3.0 tahun 2012 dikesan telah bersikap keras dan melampaui jangkaan semua pihak yang cintakan keamanan, kedamaian dan keadilan.
Dalam perhimpunan itu, rakyat secara umumnya menjadi saksi akan kerakusan segelintir peserta-peserta BERSIH 3.0 merosakkan kemudahan awam, menyerang kenderaan polis dan bertindak di luar batasan perhimpunan amam yang diwar-warkan oleh penganjur BERSIH sebelum itu. Kini BERSIH 4.0 dijangka kembali semula dengan kehadiran puluhan ribu penyokong mereka di Bandaraya Kuala Lumpur mulai 29 hingga 30 Ogos 2015. Persoalan utama yang bermain di benak fikiran ini, apakah motif utama mereka?. Adakah mereka mempunyai niat lain di belakang tabir?
Mencemarkan sambutan Hari Kemerdekaan Negara Kita
Penganjuran BERSIH 4.0 pada 29 hingga tengah malam 30 Ogos 2015 dilihat amat tidak sesuai kerana pada tarikh ini pelbagai pihak dari pelbagai lapisan masyarakat, umur dan bangsa dari sektor awam, swasta, sekolah dan sebagainya sedang sibuk menyiapkan diri bagi sambutan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 2015.
Seperti yang diketahui umum, pada setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan, upacara perbarisan hormat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan pimpinan tertinggi negara akan diadakan.
Begitu juga dengan upacara persembahan selingan, pameran dan lain-lain aktiviti yang dirancang memerlukan persiapan dan latihan beberapa hari sebelum hari sebenar. Justeru, tindakan penganjuran BERSIH 4.0 mengadakan perhimpunan pada tarikh yang dirancang dilihat akan menjejaskan persiapan semua pihak dari aspek pergerakan, tumpuan dan fokus peserta-peserta yang terlibat pada hari raptai menjelang sambutan Hari Kebangsaan Negara pada 31 Ogos 2015.
No comments:
Post a Comment