KUALA LUMPUR, 8 Dis – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya berkata cadangan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin yang mahu memansuhkan hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan adalah satu cadangan yang keterlaluan dan boleh menyebabkan orang ramai tersalah tafsir agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.
Ujarnya, golongan tidak bertanggungjawab ini hanya memanipulasikan Al-Quran dan hadis untuk kepentingan diri dan hanya menggunakannya apabila merasakan ada kepentingan untuk diri sendiri.
“Perkara ini sangat bahaya dan saya berharap agar rakyat melihat, menilai dan meneliti hujah bagi setiap sesuatu dan sekiranya ada kekaburan dalam memahami nas-nas Al-Quran dan hadis rujuklah kepada ilmuan-ilmuan Islam.
“Jangan membuat pendirian tersendiri yang hanya bergantung kepada logik akal kerana manusia berbeza-beza apabila memahaminya.
“Kita perlu mempunyai disiplin dalam memahami agama. Jika sesuka hati akan wujudlah golongan seperti Kasim Ahmad, Ayah Pin kerana mereka mengulas, memahami, mentafsirkan dengan sesuka hati mereka sendiri,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Fathul Bari turut menjelaskan bahawa kenyataan seperti itu adalah cubaan untuk meliberalkan pemikiran manusia dan meliberalkan sistem berasaskan keIslaman di negara ini.
Dek kerana itulah maka wujud cadangan-cadangan seperti membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kenapa institusi-institusi Islam pada hari ini diserang dalam pelbagai sudut? Jakim, Tabung Haji dan mungkin akan menyusul beberapa lagi kita tidak tahu… jadi saya melihat ada agenda liberisasi yang digerakkan oleh pihak tertentu,” tegas beliau.
Baru-baru ini Noor Farida telah membuat kenyataan agar hukuman terhadap perbuatan berkhalwat dimansuhkan kerana perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian adalah hak dan privasi setiap individu.
Apa yang jelas, kenyataan Noor Farida ini telah membuatkan umat Islam di Negara ini tersentak dan marah. -MediaUMNO
Penulis Adalah Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (UiTM)
No comments:
Post a Comment