KUALA LUMPUR, 11 Dis – Saranan para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2015 agar kepimpinan tertinggi parti kini dan terdahulu dirapatkan harus dianggap sebagai teguran ikhlas anggota yang sayangkan UMNO dan mahu parti itu terus di landasan yang benar.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata saranan itu lahir dari suara hati perwakilan yang melihat kepimpinan tertinggi parti sebagai panduan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata adalah penting bagi ‘kepimpinan lama menyayangi kepimpinan baharu dan kepimpinan baharu menghormati kepimpinan lama’.
“Kombinasi ini penting kerana ahli-ahli UMNO keseluruhannya mahu supaya tidak ada sebarang permasalahan berlaku di kalangan kepimpinan sama ada yang telahpun memberikan sumbangan dalam kerajaan mahupun sekarang,” kata beliau kepada pemberita pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan.
“Daripada perbahasan itu, ada yang memperlihatkan dengan cara berkias, ada yang berterus terang, tetapi pada hemat saya, itu semua kaedah bagaimana saranan dibuat, tetapi semuanya ikhlas.
“Kami meneliti semua saranan yang dilihat sebagai suara hati perwakilan yang memberi pandangan mereka,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian ditanya mengenai perwakilan yang mahu kepimpinan tertinggi dahulu dan kini dirapatkan selain adanya teguran keras daripada perwakilan berhubung perkara itu.
Ahmad Zahid berkata perbahasan hari ini turut berkisar sekitar pemerkasaan institusi presiden dan menterjemahkan dasar UMNO kepada dasar kerajaan untuk kebajikan rakyat.
Beliau berkata institusi itu perlu dipastikan kekal sebagai nakhoda yang mengemudi bahtera politik dengan lancar menuju pelabuhan matlamat yang telah ditentukan oleh dasar parti.
Ahmad Zahid berkata perwakilan turut meminta agar pemimpin sering turun padang bertemu rakyat untuk mengetahui sendiri jerih perih rakyat dalam usaha memastikan keseimbangan sosial di kalangan rakyat tercapai dalam usaha negara mencapai status negara maju pada 2020.
Sementara itu, Hishamuddin turut mengingatkan para perwakilan akan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan maklumat yang diterima semasa perhimpunan kepada pemimpin akar umbi di negeri masing-masing.
“Tanggungjawab untuk merapatkan barisan bukan setakat di bahu pemimpin sahaja, perwakilan juga memimpin bahagian masing-masing. Bawa apa yang dibincangkan di perhimpunan ini untuk sampai ke peringkat akar umbi.
“Kalau mereka tidak memikul tanggungjawab untuk membantu kita merapatkan barisan itu bermakna mereka sendiri mengabaikan amanah yang mereka pikul,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment