SEPANG, 23 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Datuk Mohd Sharif mendesak agar Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menjawab dua persoalan penting berkaitan kos naik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan yang mencecah RM9.8 juta.
Tegasnya pertama, Kerajaan Negeri perlu mendedahkan secara terperinci bagaimana kos naik taraf boleh menjadi begitu tinggi dan kelihatan agak tidak realistik.
Keduanya, tambah beliau mengapa baru sekarang timbul jawapan kos tersebut ditanggung oleh penderma. “Jika benar ada penderma maka dedahkan… Saya agak hairan mengapa jawapan ditanggung oleh penderma tiba-tiba muncul.
“Bagi saya apapun pihak Kerajaan Negeri Selangor perlu menerangkan kepada rakyat apa yang menyebabkan kos naik taraf mencecah sehingga RM9.8 juta. Rakyat berhak untuk mengetahui,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Shahrum, sekiranya kos tersebut hanyalah untuk mengecat dan membaik pulih mengapa ia menjadi begitu mahal dan seakan tidak logik.
Jika benar tiada berlaku sebarang ketirisan kata beliau lagi maka Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu bimbang untuk memberi penjelasan dan menjawab perkara yang dibangkitkan oleh pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali CheguBard.
“Jawapan kos tersebut sudah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah satu jawapan yang bijak kerana tiada perincian yang didedahkan. Kalau jumlahnya kecil mungkin tidak menjadi isu tetapi ini melibatkan jumlah wang yang banyak.
“Tapi saya berharap jangan pula kerajaan negeri menyalahkan UMNO bila soal ini dibangkitkan. Perkara ini tidak ada kena mengena dengan UMNO. Kita cuma mahu tahu…,” sindir Shahrum.
Sejak terbongkarnya kos naik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan, ramai yang beranggapan bahawa ia satu pembaziran kerana adalah lebih baik wang tersebut digunakan untuk membantu rakyat. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment