KUALA LUMPUR, 9 Dis – Perwakilan ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri hari ini memperlihatkan sikap matang dan rasional dalam berpolitik apabila menyambut kedatangan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal yang hadir secara tiba-tiba pada sesi perbahasan ketiga-tiga sayap tersebut.
Sikap terbuka dan rasional yang diperlihatkan oleh perwakilan ketiga-tiga sayap tersebut ketika menerima kunjungan kedua-dua pemimpin itu memberikan satu mesej yang jelas, bahawa akar umbi UMNO mahu melihat perpaduan kepimpinan di peringkat tertinggi, bagi menjamin kekuatan dan kelangsungan UMNO di dalam persada politik negara.
Kehadiran kedua-dua pemimpin peringkat tertinggi itu juga merupakan satu lambang betapa terbuka dan demokrasinya parti UMNO yang merupakan parti terbesar bagi orang Melayu di negara ini.
Kedua-dua pemimpin berkenaan diberikan tepukan gemuruh oleh para perwakilan sebaik melangkah masuk ke dalam dewan selain disambut mesra oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Shamsuddin serta perwakilan yang hadir di persidangan ketiga-tiga sayap tersebut.
Walaupun Tan Sri Muhyiddin sebelum ini dilihat kerap kali mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu-isu pentadbiran negara, namun ternyata ianya bukanlah alasan bagi para perwakilan menerima kehadiran Timbalan Presiden UMNO itu dengan kelakuan yang kurang sopan.
Sikap yang diperlihatkan oleh para perwakilan serta kepimpinan sayap UMNO itu jelas membuktikan bahawa kritikan dan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan demokrasi telah mati di dalam UMNO jelas tersasar, malah ianya semakin subur dan berkembang di dalam parti politik terbesar orang Melayu itu.-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment