22 Dec 2015

Undang-undang Majlis Keselamatan Negara Amat Relevan- Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kewujudan undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) tepat pada masanya dan amat relevan dalam keadaan negara semakin terdedah dengan pelbagai ancaman asimetrik melibatkan ketenteraman dan keselamatan rakyat.
Senator Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata demikian semasa membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Negara hari ini.
“Ancaman asimetrik yang sedang dihadapi sejak kebelakangan ini merangkumi ancaman seperti kumpulan militan Daesh (IS), permerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan,” katanya yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia.
mknJusteru, negara memerlukan satu mekanisme ataupun undang-undang yang lebih berkesan dan efektif untuk membendung serta membanteras keselamatan sebelum ia tidak boleh dikawal akan membawa kepada darurat, katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang itu jika diluluskan kelak, perlu diperhalusi supaya tidak berlaku sebarang salahguna kuasa.
Mohd Anwar berkata aspek penguatkuasaan perlu diterangkan dan diperjelas dengan lebih terperinci, baik kepada pengamal undang-undang mahupun masyarakat.
“Saya hendak cadangkan eloklah dikaji masa membuat peraturan-peraturan sebelum kita kuatkuasakan MKN ini dengan memperhalusi dengan lebih terperinci satu persatu penguatkuasaannya.
“Ini supaya mereka yang diberi kuasa tidak menyalahgunakan kuasa tetapi mengikut peraturan ditetapkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Senator Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg mahu MKN turut dianggotai wakil dari Sabah dan Sarawak memandangkan ancaman masa kini lebih bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut situasi semasa yang memerlukan semua pihak turut serta dan bekerjasama dalam MKN.
Mencadangkan Sabah dan Sarawak diwakili ketua menteri negeri masing-masing, Dayang Madinah berkata ia membolehkan rakyat negeri berkenaan tidak ketinggalan memperoleh maklumat terkini tentang sesuatu perkara.
“Tambahan pula Sabah dan Sarawak negeri yang kaya dengar sumber asli seperti balak, gas serta petroleum dan mungkin menjadi tarikan kepada pihak-pihak luar. Maka ia perlu disertai wakil Sabah dan Sarawak untuk sama-sama menjaga keamanan negara,” katanya.
Senada dengannya, Senator Datuk Boon Som Inong yang menyifatkan penyertaan wakil dari Sabah dan Sarawak itu satu petunjuk bahawa kerajaan serius dalam memastikan keselamatan dan keamanan kedua-dua negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Senator Datuk Jaspal Singh Gurbakhes Singh menegaskan rang undang-undang itu membolehkan tindakan segera diambil tanpa perlu menunggu masa yang lama.
Dilaporkan rang undang-undang itu memperuntukkan bidang kuasa khas kepada pasukan keselamatan merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa memeriksa dan menyita; kuasa menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau
pengangkut.
Pasukan keselamatan pula terdiri daripada Polis Diraja Malaysia; Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia dan Polis Bantuan; Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

Sumber

No comments: