KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar percaya serangan serta dakwaan fitnah kononnya negara kehilangan RM42 billion dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dijajakan kepada rakyat selama ini akan terhapus menerusi siri penjelasan yang memaparkan pelbagai fakta berkenaan isu tersebut.
Oleh yang demikian, beliau amat yakin program Konvensyen Penerangan Pemuda UMNO dalam slot bual bicara bersama Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda telah memberikan penjelasan fakta yang menyeluruh kepada para peserta bagi menepis segala tohmahan dan persepsi palsu yang dilemparkan.
“Penerangan yang diberikan oleh Arul bukan sahaja membantu tetapi membuat pencerahan yang sejelas-jelasnya.. memperincikan segala fakta bagi menjawab serangan serta putar belit yang selama ini digunakan pembangkang untuk mengelirukan rakyat.
“Sebelum ini perkara sebegini kurang diperjelaskan kepada kita sebagai jentera penerangan Pemuda. Kini kita telah dapat maklumat yang jelas serta tepat dan kini ianya boleh dibawa balik ke bahagian masing-masing untuk memberi penerangan yang lebih terperinci kepada rakyat terutamanya anak-anak muda,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah beliau, para peserta program ini adalah ketua-ketua penerangan di peringkat bahagian-bahagian dan mereka ini telah diberi KPI untuk sekurang-kurangnya melaksanakan 10 program sebulan.
“Bukan sahaja program besar tetapi termasuklah duduk semeja di kedai kopi atau di surau yang boleh bercerita berkaitan isu-isu semasa.
“Saya yakin dan percaya slot 1MDB ini dapat memberi maklumat yang baik untuk disampaikan dan rata-rata peserta melahirkan kefahaman berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan tadi.
“Saya berharap selepas ini tohmahan berkaitan kehilangan duit 1MDB tidak lagi menjadi senjata untuk ‘membunuh’ kerajaan. Kita Pemuda akan bersama-sama bergerak membantu kerajaan agar persoalan ini terjawab seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan,” jelasnya lagi.-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment