10 Dec 2015

Ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015-Datuk Seri Najib Razak


KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak hari ini menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Berikut adalah teks penuh ucapan beliau:

BismillahirRahmanirRahim,
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,
Timbalan Pengerusi Tetap,
Timbalan dan Naib-Naib Presiden,
Ketua-Ketua Sayap Parti, Wanita, Pemuda dan Puteri,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Para Perwakilan,
Ketua-Ketua Parti Komponen,
Dif-dif Jemputan, Para Hadirin,
Saudara dan Saudari Sekalian.

MUKADIMAH

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin wa biHi nastain.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

1. Pada pagi ini, 10 haribulan Disember 2015, bersamaan 28 haribulan Safar 1437 Hijriah, sekali lagi Allah-Hu Ta'ala, dengan izinNya telah menghimpunkan kita semua, dalam satu majlis yang dirahmati hendaknya.

2. Seperti yang telah disebutkan oleh Setiausaha Agung parti, saya selaku Presiden, mengalu-alukan sejumlah 2,762 perwakilan, dari 191 Bahagian seluruh negara, bermula di Arau Perlis, membawa ke Lahad Datu, Sabah.

3. Sehubungan itu, mari kita merakamkan ucapan tahniah setingginya kepada Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selamat bersidang dengan jayanya.

4. Kepada Wanita, sepertimana diisytiharkan pada perhimpunan agung 2013, segala susah payah dan pengorbanan kaum Hawa dalam parti bertuah ini,… selamanya akan diangkat,… dan terus dimartabat,… sebagai tulang belakang UMNO.

5. Kepada para Pemuda,… mengambil sempena surah Al-Kahfi,… saya mahukan seangkatan besar yang hebat lagi gagah berani,… selaku waris perjuangan bangsa, rela berbakti, kerna,… pada saudara-saudaralah dipertaruhkan harapan untung nasib keturunan kita.

6. Buat Puteri pula,… dengan seri merah jambunya di sebalik selendang atau dalam kerudung, walau lasak dan gigih berjuang.

7. Semestinya, saudari-saudarilah harapan pertiwi,… kematangan dan kebolehan semua, semakin hari semakin pula, tampak menyerlah.
Saudara dan saudari,

8. Orang menyebut, tiada yang dulu, tiada yang sekarang. Satu lagi kelompok yang merupakan pasukan penyokong tegar kepada parti, waima telahpun meninggalkan medan perjuangan secara rasmi, tetap taat dan setia, mencurah khidmat dan nasihat kepada parti tercinta.

9. Ayuh,… ayuh,… kita sama-sama memberi tepukan penghargaan, tanda terima kasih kepada golongan veteran UMNO.

10. Kepada para pendahulu yang telah pergi lebih awal dan kembali berpulang kepada-Nya, sayugia hanya Allah-Hu Ta'ala yang mampu memberi balasan setimpal, atas segala kebaikan yang telah dilakukan.

11. Serentak itu juga, bagi pihak seluruh pengurusan parti keramat UMNO, kita rafakkan sembah takziah kepada seluruh kerabat DiRaja Kedah dan DiRaja Johor, masing-masing atas kemangkatan almarhum-almarhum, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Amat Mulia, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.

12. Semoga rahmat tercucur di atas roh mereka… Al-Fatihah,…
Saudara dan saudari,

13. Pucuk pangkalnya, setiap daripada kita,… yang berhimpun, di sinilah rumah UMNO. Saya dan saudara saudari semua, bukanlah hanya sekadar bagian daripada UMNO, akan tetapi,… kita adalah UMNO.

14. Kitalah tiang serinya, lantai dan dindingnya, jenang dan jendelanya, atap genting dan atap rumbianya, pasak dan tunjangnya, saling bergabung, lengkap melengkapi, yang akan terus mengibar megah sang saka bangsa, panji keramat kepada parti yang berdaulat ini.
Saudara dan saudari,

15. Kata orang,….. alang-alang mahu berjuang,… walau langit turun menimpa,… meski bumi terbagi dua,… dengan cogankata Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat, UMNO ini satu-satunya parti milik kita, pertahankanlah,... pertahankan bersama.
Saudara dan Saudari,

16. Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, perhimpunan kali ini berbeda dan tidak sama dengan kali kali yang lalu. Dengan kata lain, ekspektasi terhadap perhimpunan ini, luar biasa.

17. Kerana,… ternyata suasana dan kejadian-kejadian yang kita lalui, sejak setahun yang lalu, penuh liku-liku dan cabaran yang melintang.

18. Berpijak di bumi yang nyata, saya tahu daripada 191 bahagian, tidak semuanya seiring pandangan.

19. Apatah lagi pada perhimpunan kali ini, setelah episod-episod tidak terduga telah terjadi, pastinya ada sesetengah yang datang, dengan segala bentuk perasaan dan rasa serta hal-hal yang terbuku di dada.

20. Walau bagaimanapun,… Alhamdulillah,… saya yakin dan percaya, melihat akan rentak dan semangat yang ditampilkan, selama beberapa hari ini, majoritinya masih teguh berikat dengan kepimpinan saya.

21. Justeru, pada minggu-mingguyang lepas, dalam ikhtiar pembikinan naskhah ucapan, selaku presiden bagi kali yang ketujuh ini, saya telah mengadakan pertemuan-pertemuan, dengan pelbagai pihak, khususnya para alim ulama, bagi mendapat pandangan serta nasihat.

22. Ini semua, saya lakukan, oleh sebab pada hemah peribadi dan rakan-rakan, kita,… sedang mendepani detik-detik sukar lagi menduga kesabaran serta juga sifat istiqamah kepimpinan parti.

23. Lalunya, saya dipesan-pesan,… bagi memperingati satu sama lain, antaranya, petikan-petikan dari surah Al-Quraish dan A-li I'mran ayat 160, serta sepotong lagi kalimah-kalimah terakhir, sebagai penutup
surah Al-Baqarah.

24. Begitulah,… saya mengajak saudara dan saudari, sama-sama mengucapkan Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad wa a'la Ali Saidina Muhammad.

25. Mudah-mudahan, terurai segala simpulan, terhapus semua kesusahan, tertunai seluruh hajat yang didamba dan tercapai segala hasrat yang diinginkan,… Insya-Allah.
Saudara dan saudari,

26. Merujuk apa yang saya nyatakan itu, dalam maksud lain, saban tahun, bukanlah mudah untuk saya berdiri di hadapan semua, di mana,… tubuh atau susuk ini, tiap kali berucap akan dipertanya-tanya, sama ada saya ini berucap sebagai apa? Presiden UMNO ataupun Perdana Menteri Malaysia.

27. Jawapannya, Ya,… betul, saya sedar, saya adalah Presiden kepada parti UMNO dan benar,.. dalam masa yang sama, saya juga adalah seorang Perdana Menteri bagi masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama.

28. Beriring dengan tanggungjawab ini, setiap kali perhimpunan agung, acapkali juga dipersoal dua lagi perkara, adakah presiden UMNO itu seharusnya berpendirian ultra atau pro-Melayu sahaja, dan keduanya mesti bersifat Islami ataupun tidak?

29. Ertinya di sini saudara dan saudari,… semua orang mesti faham baik-baik,… bahawa tugas yang terpikul di bahu saya, sambil dibantu oleh rakan-rakan, umpama seurat rambut dibelah tujuh.

30. Maksud yang mendalamnya, di kala Malaysia yang serba moden lagi membangun pesat ini, dengan pelbagai kaum di Semenanjung, menjangkau 40 etnik di Sarawak dan lebih 60 suku di Sabah, tambahan pula,… budaya dan faham yang beragam-ragam, teknologi dan media yang makin canggih serta masyarakat yang lebih terdidik, segalanya, daripada sebesar-besar hal kepimpinan dan pentadbiran
negara juga parti, kepadalah sekecil-kecilnya urusan, tidak lagi semudah dan sesenang,… berbanding waktu yang dulu-dulu.

31. Maksudnya, peranan kepimpinan parti dan Kerajaan, mencakupi ruang lingkup yang seluas-luasnya, yakni yang dapat dilapiskan pada peringkat nusa atau negara, ummah dan tentunya Melayu Bumiputera.

32. Maknanya lagi, amanah yang dimandatkan adalah amat besar, untuk memimpin dan menerajui sebuah kesatuan, bukan sahaja orang Melayu, Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, Islam dan bukan Islam, di mana unjurannya terkini seramai hampir 20 juta orang.

33. Malah, tentunya seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah dekat 30 juta kini, tidak kira kaum Cina, India, Serani mahupun orang-orang Siam yang menetap di negara ini,… semuanya,… semuanya bagi kepimpinan UMNO, adalah sama penting dan sama mustahak dalam pembikinan sebuah
nusa makmur lagi berjaya.
Saudara dan saudari,

34. Namun, saya dan kita semua harus faham dengan jelas,… bahawa pendirian kita, tatkala berada di forum dan pada pentas Perhimpunan Agung UMNO ini, barulah munasabah dan barulah berhak bagi kita
menjurus untuk cenderung terhadap pembelaan untung nasib serta kebajikan khususnya, orang-orang Melayu dan Bumiputera.

35. Jadinya, bagi setiap usul, segala perbahasan dan segenap isu yang diperdebatkan, obor perjuangan yang dinyala, jangan gentar dan usahlah bimbang,… malah, kita dalam perhimpunan ini, sewajibnya,… tidak lain dan tidak bukan, mesti terus menjulang kepentingan dan kedudukan bangsa serta keturunan Melayu dan Bumiputera, di tanah tumpah darahnya sendiri.
Saudara dan saudari,

36. Pujangga ada berpesan, hidup ini tidak pernah pun menjanjikan yang senang-senang saja. Apabila berdepan dengan masalah, kita tidak boleh sekali-kali lari daripadanya. Itulah prinsip saya

37. Jika digali sejarah dan sisir kepimpinan negara, bermula pada zaman Almarhum Tunku, membawa kepada saya sebagai Perdana Menteri yang keenam ini, tidak ada seorang pun yang terlepas atau terkecuali daripada menerima ujian.

38. Berhubung semua ini, saudara dan saudari, tatkala dihadapkan dengan pelbagai dugaan, saya sering diperingkatkan oleh rakan-rakan, tentang mafhum dan tafsir surah Al-An'am, yang menjelaskan bahawa, cabaran terhadap seseorang pemimpin itu, harus diterima sebagai satu muhasabah, yang dengannya, mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan mengangkat martabat kita.

39. Hatta, memetik hikmah kata oleh Bapak Muhammad Nasir, bekas Perdana Menteri Indonesia bahawa, tiada percetakan atau buku-buku panduan, yang bisa atau mampu melahirkan seorang pemimpin

40. Kerana pemimpin itu,… sebenarnya tidak lahir di bilik-bilik kuliah, sebaliknya pemimpin itu muncul di gelanggang dan di celah-celah kemelut supaya mampu menangani cabaran dan dugaan.
Saudara dan saudari,

41. Dari yang tersurat dan tersirat,… dengan berbekalkan mutiara qurani dan petikan duniawi, yang telah saya sampaikan tersebut,…biar menggunung cabaran menghalang, meski hebat apapun tantangan yang
tiba, saya,… tidak boleh sesekali menyerah kalah, bahkan,… dengan beraninya,… harus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya, untuk terus memimpin UMNO mara menuju kemenangan.

42. Melangkah ke hadapan lagi, dalam mengharung asakan-asakan dan dugaan yang dipertimpa ke atas saya, pada hemat saya,… kepimpinan itu bukan soal kebongkakan menongkat langit, bukan juga mengumpul orang di sana sini, untuk mengata dan menuduh sesuka hati.

43. Sepertimana yang sudah saya nyatakan dengan nada yang tawadu' di Parlimen baru-baru ini, ya betul, memang benar,… saya seorang Presiden dan Pemimpin, akan tetapi, saya juga manusia seperti saudara dan saudari semua. Masing-masing, punyai kelebihan dan kekurangan.

44. Tetapi bagi saya, I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul.

45. Dalam pengertian yang lebih langsung, jika sekalipun pada suatu masa kelak, baton kepimpinan ini akan diserahkan kepada orang lain, dalam Bahasa Inggerisnya,.... to me,……. I can't just abandon our cause and drop our mission, tanpa dengan terlebih dahulu berikhtiar, mempastikan bukan sahaja isu-isu berbangkit dilangsaikan, malah,…keadaan parti dan jamaah ini hendaklah kembali dipulihkan seperti
sediakala,… sebabnya,… jika tidak,… seperti yang dinasihatkan oleh para alim ulama, saya tidak boleh menjadi seorang pengecut, bahkan, itu bacul namanya.
Saudara dan saudari,

46. Sebab itu, terhadap apa-apa perkara pun, ada jalan dan kaedah penyelesaiannya. Dalam ehwal 1MDB, saya ingin maklumkan bahawa, ia sedang ditangani dan dalam proses penyelesaian.

47. Misalannya, dengan penjualan syarikat Edra, hutang 1MDB kini telah susut sebanyak 17 bilion. Ini membuktikan pelan rasionalisasi 1MDB sedang berjalan dengan baik. InsyaAllah ini akan disusuli dengan beberapa pengumuman yang lain, yang akan meyakinkan rakyat untuk akhirnya nanti mendapat penyelesaian yang tuntas.

48. Menyentuh dana 2.6 bilion pula, isu ini pun telah dijawab di sidang Parlimen baru-baru ini oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, bahawa, wang itu adalah derma dari luar negara dan bukannya diambil
dari 1MDB. Saya juga telah menjelaskan dengan terperinci kepada para perwakilan semasa taklimat presiden.
Yang mustahak,… saya yakin,… saya berada di pihak yang benar, dan kebenaran akan terbukti juga.
Saudara dan saudariku sekalian,

49. Bertitik tolak daripada semua itu, antara perkara mustahak yang mahu saya peringatkan, adalah prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.

50. Bersabit ini, apa yang mahu saya jelaskan, bukanlah sesuatu yang menurut hawa nafsu, namun disandarkan kepada sirah dan ibrah para nabi, yang didampingi sahabat-sahabat berwibawa.
51. Saya turut meninjau tawarikh pertubuhan atau organisasi di serata dunia,… dan kita dapati,… jika sifat kesetiaan atau loyalty tidak terwujud kental pada diri masing-masing, dalam mendokong pimpinan utama, sudah barang pasti rosaklah rencana, pincanglah kesatuan.

52. Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang semestinya berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang UMNO dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan.

53. Barulah wujud dan adanya disiplin, tanzim serta ketersusunan dalam organisasi seperti UMNO ini. Hukamak menyebut, sesuatu hak dan kebenaran yang tidak diwaspada pun, boleh tertewas oleh fitnah dan kebatilan yang dikerangkakan dengan rapinya, oleh pihak-pihak yang
curang dan berniat jahat.

54. Malah, hukum kesetiaan disebut berulang kali dalam Al-quran dan hadis, antaranya melalui surah An-Nisa', tentang tuntutan ketaatan kepada Ulil Amri.

55 Dalam Islam, berasaskan nas dan matan hadis yang sahih, jumhur
ulama, berpegang kepada pandangan dan nilai kesetiaan serta ketaatan,
yang disebut sebagai wala', yang bererti memberi taat, kecintaan,
setia dan kasih sayang kepada pemimpin dan institusi kepimpinan itu.

56. Sebab itu, kita tidak dapat memisahkan prinsip kepemimpinan dan
kepengikutan, yang sebenarnya bersifat saling berkait antara satu
dengan yang lain.

57. Kendati itu, dalam Sejarah Melayu lama pun, memperakukan dengan
halusnya dalam bait-bait indah tentang kesetiaan dan ketaatan kepada
pucuk pimpinan.

58. Ia menyebut, diseru dan dipanggil kita datang, disuruh pergi, kita
pulang. Begitulah luhurnya prinsip kesetiaan dan ketaatan.

59. Sebab itulah, saudara dan saudari, Islam secara khulasahnya,
menetapkan bahawa adalah wa---jib kita mentaati pemimpin yang
memerintah.

60. Lagipun, sepanjang saya menempuh onar dan ranjau kerjaya menjadi
ahli politik dan anggota pentadbiran, semua orang tahu, Najib Razak
ini,… Saya,… seorang yang tidak confrontational,…. Saya juga tidak
pernah menjatuhkan sesiapa,… apatah lagi untuk mengkhianati parti UMNO
tercinta ini.

61. Laginya,… hampir kesemua orang yang pernah terlibat dalam politik negara ini pastinya maklum,… bahkan tercatat dalam lipatan sejarah parti ini, bahawasanya,… Najib Razak ini,… Saya jugalah pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan UMNO pada masa
itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat
dan bersetia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan
kedudukannya ketika itu, sebagai presiden UMNO, sekaligus mengekalkan
dirinya sebagai Perdana Menteri.
Saudara dan saudari,

62. Berbalik kepada situasi semasa UMNO, dimaktubkan dalam
perlembagaan parti bahawa, amanah besar dan tanggungjawab yang
terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi
pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan
parti.

63. Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harafiahnya,
memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan
Presiden itu, fasalnya itu menyebut, "Timbalan Presiden membantu
tugas-tugas Presiden".

64. Manakala, bagi fasal 9.83 pula, tanggungjawab dan amanah
Naib-naib presiden itu dinyatakan sebagai,… "Naib-Naib Presiden itu
kerjanya membantu tugas-tugas Presiden".

65. Merujuk kepada ahli-ahli pula,… fasal 6.1.1 dan 6.2.1, antara
intipatinya menyatakan bahawa, tanggungjawab dan hak "Ahli-Ahli UMNO"
ialah memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya
serta berhak mengemukakan pendapat kepada parti, tetapi mestilah
melalui saluran yang betul.
Saudara dan saudari seperjuanganku,

66. Lantas, dengan berpegang dan memahami maksud perlembagaan ini,
barulah pertubuhan atau jamaah UMNO kita ini mampu bergerak dalam
ikatan yang kukuh dan sempurna,…
dipandu oleh etika-etika mahupun tatasusila parti yang sudah disepakati bersama.

67. Itulah rahsia,… dan itulah formula,… sesebuah parti politik
seperti kita, yang telah bertahan dengan jayanya sehingga kini,
mudah-mudahan sampai bila-bila.
Saudara dan saudari,

68. Pada perspektif lain, telah berbangkit suara-suara atau
cakap-cakap, adakah UMNO masih relevan? Timbul juga, apa yang
dikatakan sebagai "perang persepsi" melalui media sosial, yang kita
anggap sebagai cabaran terbesar kepada kita kini, di mana sesetengah
isu itu, sengaja dieksplotasi, ditohmah dan diperbesar-besarkan.

69. Bak kata orang putih, perkara-perkara "half truth" pun boleh menjadi "absolute truth".
Saudara dan saudari,

70. Menjawab persoalan-persoalan tadi, telah terserlah UMNO yang
menunjang Barisan Nasional sebagai Kerajaan yang mentadbir sejak
puluhan tahun, telah membuktikan kejaguhannya, dalam membawa Malaysia
tercinta ini…

71. Daripada hanya sebuah perdesaan dan perkampungan,… tiada siapa
dapat menjangka,…kini kita telah tumbuh dan muncul menjadi sebuah
Bintang Timur yang bergemerlapan bukan sahaja di rantau ini, bahkan di
seantero dunia.

72. Terkini, dalam laporan daya saing global 2015-2016 oleh World
Economic Forum, Malaysia telah melonjak 2 anak tangga kepada kedudukan
18 daripada 144 buah negara utama ekonomi di dunia.

73. Justeru, mana mungkin orang boleh mengata kita sebagai fail state
atau pengemis di bawah kepimpinan saya kini.

74. Malah, antara contoh yang boleh diperbanggakan lagi, pertamanya,
pembinaan Pelantar Gas di Laut Caspian, pengurusan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kedua di Istanbul, pelaburan Shale Gas yang merupakan
Pelaburan Langsung Asing atau FDI terbesar di Kanada hasil kendalian
anak-anak bangsa kita.

75. Selain itu, Penyediaan Perkhidmatan Kesihatan yakni IHH Healthcare
Berhad sebagai yang kedua terbesar di dunia, serta penyelenggaraan
fasiliti stesyen dan pengendalian Mekah Metro, adalah juga kejayaan
anak-anak bangsa kita, dan segalanya ini hasil perjuangan UMNO.
Saudara dan saudari,

76. Bercakap di sudut ekonomi juga, dalam hal GST, rakyat perlu tahu,
hakikatnya, jika sebelum tahun 2015, 31 peratus daripada pendapatan
Kerajaan datangnya daripada hasil minyak.

77. Namun, akibat daripada penurunan mendadak harga minyak mentah
dunia yang dijangka kekal rendah, akan menyebabkan hasil Kerajaan
dijangka berkurang sekitar 30 bilion ringgit.

78. Jika ini berlaku, badan-badan pengabsah terkemuka di peringkat
antarabangsa seperti Standard & Poor's dan Fitch Ratings, akan
menurunkan taraf rating kredit negara.

79. Ini juga akan menyebabkan kadar-kadar faedah pinjaman seperti
pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman perniagaan melonjak
naik.

Saudara dan saudari,

80. Implikasinya, menyebabkan ekonomi negara kita akan merudum,
pelaburan akan terjejas, peluang pekerjaan pula menjadi terhakis.

81. Dalam konteks ini, tidak dapat dibayangkan, seandainya pihak
Kerajaan tidak mempunyai keberanian politik untuk tetap melaksanakan
GST, baki akaun semasa fiskal Kerajaan akan mencatat defisit sebanyak
10.6 bilion ringgit. Ia juga akan melonjakkan defisit negara daripada
3.1 kepada 4.8 peratus pada tahun pertama dan mungkin akan jauh lebih
tinggi pada tahun-tahun berikutnya.

82. Akibatnya, Kerajaan mungkin terpaksa membuat pinjaman untuk
membayar gaji penjawat-penjawat awam, termasuklah para guru dan
anggota tentera.

83. Jika hal itu terjadi, tiada kenaikan gaji tahunan pada kakitangan,
begitu juga elaun perjalanan, malah akan berlakunya pembekuan dan
tiada pengambilan baru dibuat, hingga barangkali terpaksa mengecilkan
pula saiz perkhidmatan awam. Hal ini, mungkin menjejaskan kebajikan
seramai 1.61 juta orang kakitangan Kerajaan.

84. Syukur atas petunjuk Allah, pelaksanaan GST oleh pihak Kerajaan
menjadi satu langkah yang amat tepat, sekalipun tidak popular,… dan,…
Alhamdulillah, hasil kutipan GST-lah yang menjadi penyelamat,
melindungi rakyat daripada ditimpa kesusahan yang lebih berat jika ia
tidak dilaksanakan.
Saudari dan saudari,

85. Selain itu, saya ingin menyebut, kejatuhan nilai matawang, yang
menjadi kebimbangan bukanlah kerana kegagalan kita mengurus ekonomi
negara, tetapi adalah disebabkan oleh faktor-faktor luaran antaranya,
kejatuhan harga minyak dan komoditi-komoditi lain, pengucupan kepada
kadar pertumbuhan ekonomi negara China serta kadar faedah di Amerika
Syarikat yang dijangka naik

86. Semuanya ini, adalah diakui oleh dunia sebagai faktor luaran
sebagai punca bukan sahaja terhadap Malaysia, malah turut terkesan
kepada kebanyakan negara ekonomi yang sedang membangun.

87. Malah, negara seperti New Zealand dan Australia pun turut
mengalami penyusutan yang teruk.
Saudara dan saudari,

88. Dari sudut yang lain,… kita mengatur syukur kepada Allah SWT
kerana lebih daripada 90 peratus perkara-perkara dalam
Akujanji-Akujanji, yang dibuat semasa Pilihanraya Umum 13 yang lalu,
telah berjaya Kerajaan kota dan tunaikan.

89. Bukti-buktinya, boleh dilihat pada pameran di luar dewan sana. Apa
yang mustahak, ia menjadi tanda bahawa kita adalah sebuah Kerajaan
yang menepati janji-janjinya.

90. Namun apa pun, kita perakui, masih terdapat 2 atau 3 perkara yang
besar dan subjektif, seperti perumahan rakyat dan kos sara hidup, yang
saya dan rakan-rakan kepimpinan negara faham bahawa isu ini adalah
besar dan menjadi keresahan utama kepada rakyat.

91. Pokoknya, kita akan terus berusaha, bagi meringankan beban rakyat
dengan pelbagai bantuan seperti BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai
Rakyat 1Malaysia dan projek-projek Perumahan Mampu Milik serta
kenaikan gaji minima dan juga kenaikan gaji tahunan untuk penjawat
awam.

92. Di atas semuanya, yang terlebih penting, saya mahukan agar UMNO
tidak hilang fokus dalam mempastikan segala akujanji itu terus kita
tunai dan lunaskan.
Saudara dan saudari,

93. Bercakap dari sudut ekonomi lagi, yang turut diperkatakan kini,
adalah tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific atau TPPA, yang
merupakan perjanjian perdagangan bebas yang komprehensif, merangkumi
pelbagai skop dan bidang.

94. Meskipun demikian, suka saya maklumkan bahawa, kita sesekali tidak
apologetik dalam mempertahankan Agenda Bumiputera, waima ketika
berunding dalam perjanjian TPPA.

95. Bahkan, kita telah mencatatkan satu lagi sejarah di mana,
anggota-anggota TPPA telah menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera
sebagai sebahagian daripada terma-terma TPPA di peringkat global.

96. Ertinya, perjuangan UMNO sudah berjaya dan agenda Bumiputera bukan
lagi sekadar menjadi agenda nasional, sebaliknya kini, agenda
Bumiputera sudah diangkat dan diiktiraf di persada dunia.

97. Inilah yang dinamakan Tahaluf Iktisadi, yakni kerjasama di bidang ekonomi.

98. Sebetulnya pun, kita mengambil contoh daripada kisah sahabat Nabi,
Abdul Rahman bin Auf, yang dianggap sebagai tokoh perniagaan disegani
dalam sejarah Islam, sebab beliau berani bersaing bukan sahaja dalam
pasaran Islam bahkan orang-orang Yahudi.

99. Jelasnya, perjuangan UMNO, tidaklah terhenti setakat wawasan 2020
sahaja kelak. Malah, menjelang tahun 2030, kita mensasarkan untuk
berada pada kedudukan 10 negara terbaik yang paling kompetitif di
dunia.

100. Lagi pula, kita mahu kemakmuran negara akan berterusan, bukan
sekadar untuk 50 tahun atau sekurun lagi, bahkan untuk tempoh yang
lebih panjang dari itu.
Saudara dan Saudari,

101. Ringkasnya, selama puluhan tahun, di bawah kepimpinan UMNO, yang
menonggak Kerajaan, pelbagai kejayaan telah kita raih dan nikmati.

102. Antaranya, kita berjaya memperkukuhkan dasar pendidikan negara,
sehingga melahirkan ratusan ribu graduan yang cemerlang, yang akhirnya
menjadi cendekiawan, para teknokrat, ulama dan usahawan cemerlang.

103. Realitinya, ikhtiar UMNO selama ini, telah merubah lanskap
kehidupan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada yang lebih baik
ataupun disebut mobiliti sosial yang berlaku secara menegak, dalam
tempoh hanya satu generasi.
Contohnya:
Anak buruh kasar telah menjadi Menteri,
Anak penoreh getah menjadi Timbalan Menteri dan Ketua Menteri,
Anak nelayan telah menjadi Menteri Besar,
Anak petani dan pekebun menjadi Ketua-ketua Setiausaha, para
cendekiawan terkemuka, ahli-ahli korporat serta pemimpin-pemimpin
masyarakat.

104. Sebagai misalan, saya tersentuh hati, pabila dimaklumkan bahawa,
betapa sukar dan susahnya hidup sewaktu membesar dulu, ada hari makan
gulai berlauk ikan kembung, manakala esoknya pula hanya dapat menjamah
kuahnya sahaja
Tapi sekarang, Alhamdulillah, tokoh penjawat awam yang saya sebutkan
ini, dah pun menjawat jawatan begitu tinggi, yakni sebagai Ketua
Setiausaha Negara.

105. Kisah kedua, ada juga yang dulu-dulu keluarganya terpaksa
berpindah dari pedalaman ke jalan besar, semata-mata supaya anaknya
itu dapat didedahkan kepada arus pembangunan negara dan menjadi lebih
terbuka lagi terdidik.
Tindakan keluarga itu ternyata membawa manfaat. Hari ini, tokoh
politik dari negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut, telah pun berjaya
menjadi seorang menteri.

106. Kisah ketiga, masih ingatkah kita lagi, semasa perhimpunan Agung
UMNO tahun lalu, apabila salah seorang perwakilan, asal dari keluarga
yang sangat daif dan susah di pedalaman Kedah, kini merupakan antara
Doktor Pakar Otopedik termuda dalam negara ini dan telah tersenarai
dalam 8 orang finalis calon angkasawan negara.
Apa yang menginsafkan kita, pabila saudara Dr Nawar ini, mengakui
bahawa, 'setiap butir nasi yang dijamah dan dimakan, adalah rezeki
kurniaan Allah, hasil titik peluh perjuangan UMNO.'
Saudara dan Saudari,

107. Hasrat hati saya, alangkah indahnya, jika lebih ramai, bukan
sahaja para perwakilan, tetapi kesemua ahli UMNO atau sebolehnya
seluruh rakyat Malaysia mensyukuri kehidupan sedemikian sekali dan
dengan limpahan rezeki yang dirasai ini sebagai hasil perjuangan parti
kita.
Saudara dan saudari,

108. Kata orang, sudah terang lagi bersuluh. Sebagaimana yang saya
sebutkan tadi, jelas sekali, sebegitu banyak warna-warna kejayaan
orang Melayu dan Bumiputera, yang telah dilakar dan dilukis hasil
perjuangan UMNO, tidak terungkap oleh kata-kata, tak terhitung pula
oleh angka.

109. Apatah lagi menjelang Mei tahun depan, UMNO akan mencecah usianya
yang ke-70 tahun, sekaligus memegang rekod sebagai parti yang berjaya
mempertahankan kemampuan dan kalibernya, mengemudi Malaysia yang pesat
membangun, sejak dulu, kini dan insyaAllah selamanya.

110. Lalu, saudara dan saudari seperjuanganku, marilah kita bersama
memberi tepuk semangat yang gemuruh, kepada UMNO parti tercinta yang
telah berjasa kepada nusa dan bangsa ini,……………………..…………………
Saudara dan saudari,

111. Begitulah saya, sebagai ahli parti dan Presiden UMNO yang taat
dan setia, pabila tibanya bulan Mac tahun depan, genaplah penglibatan
saya selama 40 tahun, bersama parti ini, tanpa sekalipun,… pernah
meninggalkannya.

112. Apatah lagi,… saya yang lahir dari leluhur UMNO,… mana mungkin
bersurut pulang atau sesekali berbalik haluan. Kata pepatah orang
Bugis,… sekali layar sudah dikembang,… saya berikrar bermati-matian
akan terus memimpin perjuangan mulia ini, bagi membela orang Melayu
dan Bumiputera.
Saudara dan saudari,

113. Malangnya,… ada sesetengah pihak yang telah dan sedang menebuk
lubang bahtera perjuangan ini, dengan tujuan menenggelamkan lawannya.

114. Sayang seribu kali sayang, mereka terlupa bahawa tindakan khianat
sedemikian, bukan setakat boleh melemaskan pihak lawannya, akan
tetapi, akhirnya yang karam dan tenggelam, adalah seluruh bangsa
keturunan dan tamadun kita ini.
Saudara dan saudari,
115. Berhubung soal ini, sarjana-sarjana agama, antaranya Ahli Majlis
Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr Sulaiman Saloomi, sendiri pun,
menyatakan tentang haram hukumnya menggulingkan Kerajaan.

116. Apatah lagi, melalui demontrasi jalanan, sehingga tergamakkah
kita melihat pabila segelintir kaum lain, dengan beraninya
memijak-mijak gambar-gambar para pemimpin Melayu Islam kita.

117. Demikian juga, saudara dan saudari, saya telah meminta pendapat
beberapa orang alim ulamak, berkaitan bagaimanakah yang dikatakan
sesebuah Kerajaan itu zalim serta layak ditumbangkan.

118. Soalnya, apakah kepimpinan Kerajaan kini yang telah berikhtiar
sehabis baik, merintis berjuta jalan, demi maslahah rakyat, apakah itu
boleh dihukum sebagai Kerajaan yang zalim?

119. Sebaliknya, baru-baru ini di dewan undangan negeri Pulau Pinang
di bawah Kerajaan DAP, ADUN PKR Penanti, di Permatang Pauh, telah
menangis teresak-esak dan tersedu sedan, mengenangkan nasib para
pengundi di kawasan beliau, terutamanya orang-orang Melayu yang
katanya, tidak diperendah dan tidak dipeduli oleh Ketua Menteri mereka
sendiri.

120. So,… tengoklah apa yang berlaku,… sampai begitu sekali. Walhal,
syukurlah tidak pernah terjadi dalam sejarah Barisan Nasional, selama
puluhan tahun, sampai ada yang menangis seperti itu.

121. Realitinya, siapa yang zalim sebenarnya? tepuk dada, tanyalah selera.
Saudara dan saudari,

122. Pucuk pangkalnya, janganlah hendaknya dipersiakan apa yang kita
secara susah payah raih dan kecapi. Nanti menyesal sudah tidak berguna
lagi,….

123. Kita kena sentiasa beringat, di perhimpunan yang dirahmati
inilah, orang-orang Melayu berkampung. UMNO inilah tempatnya kita
menumpang manja, mengadu suka dan duka.

124. Di perhimpunan bertuah inilah, saban tahun kita keramatkan segala
usul yang akhirnya menjadi dasar-dasar negara.
125. Ingat,... ingat ya,.. di sinilah UiTM dimartabatkan, di sinilah
nasib penjawat awam dibela, di perhimpunan ini jugalah Raja-Raja
Melayu terus dipermuliakan.

126. Dan,… yang paling utama, di jamaah dan himpunan inilah, syiar
agama Islam dipertinggikan, dan di perhimpunan inilah juga orang
Melayu menghitung masa depan keturunan mereka, agar tidak merempat di
watan sendiri.
Saudara dan saudari,

127. Selain itu, dewasa ini, institusi Bumiputera seperti UiTM, bukan
lagi calang-calang menara gading. Pasukan debatnya telah memenangi
kategori utama dalam pertandingan debat intervarsity paling kompetitif
di dunia, yang berlangsung di Universiti Cambridge.

128. Tidak lupa kepada para pendebat dari Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia, yang telah mengharumkan nama Malaysia di
persada dunia apabila memenangi kategori English as second language
dalam pertandingan yang sama.
Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada mereka.
Saudara dan saudari,

129. Seterusnya, seperkara lagi yang ingin saya kongsikan dari hati ke
hati,… dalam melayari pimpinan dan pentadbiran negara ini, waima siapa
sahaja yang duduk di kerusi sebagai sebagai Perdana Menteri, sekaligus
juga seorang Presiden parti,…
bukan sekadar sekali-sekala,… namun hampir setiap masa, saya
dihadapkan dengan pelbagai dilema dan punya tiada pilihan, bahkan
terpaksa membuat keputusan-keputusan yang berat dan keras, namun, demi
kepentingan parti, setelah disepakati secara syura oleh Majlis
Tertinggi UMNO.

130. Ternyata,… ada waktunya,… kalau atas dasar seorang sahabat, tidak
mungkin saya mengambil keputusan yang luka lagi melukai.

131. Namun, bak kata kearifan Inggeris, if you wish to please
everybody, you will end up pleasing no one.

132. Lalu, atas nama survival dan kepentingan parti, tindakan-tindakan
tertentu, terpaksa dengan berat hatinya diambil.

133. Ini,… saya rujuk kepada antaranya rombakan kabinet, bagi
memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam membina kesepakatan
dan kesetiaan, sebagai satu pasukan yang padu, berasaskan konsep
collective responsibility, sebagai satu saf atau pasukan yang mantap
lagi jitu.

134. Tambahan lagi, perjuangan UMNO bukan sahaja di Tanah Semenanjung,
bahkan kita akan terus membantu rakan-rakan seperjuangan kita, yakni
parti komponen Barisan Nasional, dalam usaha membela untung nasib
rakyat di Sabah dan Sarawak.

135. Oleh itu, baru-baru ini, saya telah umumkan bahawa, lebih banyak
kuasa pentadbiran atau empowerment, yang membabitkan jabatan dan
agensi persekutuan bakal diberikan kepada Kerajaan negeri Sabah dan
Sarawak.

136. Tidak cukup sekadar itu, dalam Bajet 2016, kita zahirkan
komitmen, dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,796
kilometer, yang bebas daripada sebarang bayaran tol.
Saudara dan saudari,

137. Begitu juga halnya bagi negeri Sabah. Di bawah kepimpinan UMNO
dan Barisan Nasional, kita terus bermati-matian mempertahankan tanah
Sabah daripada penceroboh yang tidak diundang.

138. Akan tetapi, kita berasa sangat kesal, tatkala kita
mempertahankan kedaulatan bumi Sabah, daripada pengganas, ada pula
individu-individu tertentu yang tergamak, malah sanggup bertemu dengan
pihak yang pernah dikaitkan dengan penceroboh di Lahad Datu.

139. Perbuatan ini sememangnya sungguh tidak bertanggungjawab, sungguh
mengguris hati, bahkan boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap
keluarga dan para perajurit serta pengkhianatan terang-terangan pada
negara.

140. Di atas semuanya, Kerajaan akan terus mempastikan keselamatan
bumi Sabah, supaya negeri di bawah Bayu terus kekal bersama Malaysia,
makmur sentosa, buat selama-selamanya.
Saudara dan saudari,

141. Sejak akhir-akhir ini, rakyat sering dimomok-momokkan oleh parti
pembangkang, kononnya, mereka adalah alternatif untuk menggantikan
Kerajaan Barisan Nasional.

142. Contoh yang sangat ketara sekarang, betapa DAP, cuba 'menguasai'
parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.

143. Ini dapat kita lihat, bilamana ada di kalangan pemimpin mereka,
yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding di 8 kerusi DUN, yang
dimenangi oleh PAS di Selangor sebelum ini, pada Pilihanraya Umum
ke-14 kelak.

144. Lebih-lebih lagi DAP di Sarawak, dengan angkuhnya memutuskan
hubungan dengan PAS dan PKR, kerana ingin bertanding lebih banyak
kerusi pada Pilihanraya Negeri Sarawak nanti.

145. Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya.
Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada
tahun 1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004,
berpisah lagi.

146. Seterusnya, DAP mencuba lagi berpakat di tahun 2008 dan 2013
dengan PAS dan PKR. Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin,
sudah tiga kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak
dengan Pakatan Harapan, tak taulah pulak talak berapa nak pakai nanti.

147. Mutakhir ini pula, parti PAS telah disepak dan diterajang keluar
daripada pakatan mereka macam itu saja.

148. Ternyata, puak-puak DAP ini, tak pernah bersatu hati dengan
pakatan mereka Cubalah kita fikir dan renung-renungkan. Nak berpakat
pun payah, jadi,… macam mana nak perintah negara?
Saudara dan saudari,

149. Bersabit perkara ini, selagi saya memimpin, seruan saya kepada
rakan-rakan dan saudara saudari seperjuanganku sekalian bahawa, kita
sekali-kali tidak akan membiarkan individu tertentu bercakap
sembarangan, kononnya kita perlu menjurus kepada two-party system atau
sistem 2 parti.

150. Mana boleh???,… Mana boleh perkara ini kita terima? Bukan atas
dasar kita tidak faham pengertian demokrasi, tetapi,… dari sudut
falsafah dan perjuangan UMNO itu sendiri, yang memartabatkan bangsa
dan mempertinggikan syiar Islam, saya ingin bertanya kepada perwakilan
dan ahli UMNO semua, takkan kita tidak faham akan bahayanya, akibat
seruan yang tidak bijaksana itu?

151. Benda inilah,… hal inilah,… perkara inilah,… orang melayu kita,
orang UMNO kita,… kena berjaga-jaga dan berwaspada.

152. Jangan sampai kita tersilap langkah,… jangan sampai kita terjun
ke dalam perangkap ini.

153. Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai cuma 2
pilihan sahaja, sama ada coalition, yang dipimpin oleh UMNO, ataupun
satu lagi coalition yang dipimpin atau didominasi oleh DAP.

154. Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan
diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak
perjuangan Melayu dan Bumiputera.

155. Bencananya, yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak
cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan
Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah….
UMNO MENUJU ISLAM YANG AUTENTIK, SEJATI LAGI MURNI
Saudara dan saudari,

156. Menjengah jendela Islam dan perjuangan UMNO terhadapnya, selama
berdekad-dekad, parti ini, telah menyongsong pembawaan syiar Islam,
yang memenuhi tuntutan kerangka Maqasid Syariah.

157. Sampai kini, Malaysia semakin dikenali sebagai sebuah negara
Islam progresif lagi dinamik, seraya menjadi contoh di kalangan negara
membangun serta negara Islam yang lain di dunia.

158. Kita bukan beromong kosong, fakta ini dikukuhkan melalui Indeks
Syariah Malaysia, yang saya lancarkan pada 10 Februari 2015 yang
lalu,... sebagai yang pertama seumpamanya di dunia.

159. Insya-Allah,... awal tahun hadapan hasil penilaian pertama bakal
diumumkan dan bersandarkan dapatan ini,... saya selaku Presiden UMNO
dan Perdana Menteri berikrar dan berjanji akan komited sepenuhnya
untuk memperkembang dan mempertinggikan syiar Islam di Malaysia.

160. Barulah, sebuah negara Islam yang digelar "Baldatun Toy-yi-batun
wa Rob-bun Ghofur" akan terbangun dan terwujud jua di Malaysia.
InsyaAllah.

161. Sesungguhnya, inilah rupawajah Islam yang menjadi jajaran dan pedoman perjuangan UMNO, yang telah kita junjung.

162. Dalam mengangkat syiarnya pula, kita tidak tunduk kepada
mana-mana kuasa besar seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

163. Pucuk pangkal, kalau kita takut, mana mungkin saya membuat
keputusan menjejakkan kaki ke bumi Gaza, tanah para Anbiya' di
saat-saat kemelut masih meruncing ketika itu.

164. Bahkan terbukti, perjuangan ini telah kita bawa dengan beraninya, hingga ke Podium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

165. Jelasnya, kepimpinan UMNO akan terus beristiqamah bagi membantu
perjuangan saudara seakidah kita di Palestin. Allahu Akbar! Allahu
Akbar!
166. Terkini, semalam saya sendiri telah menerima 3 keluarga seagama kita, yang bernasib malang dari Syria untuk diberi perlindungan dan kehidupan baru.

167. Sememangnya, Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Maka berbenar-benarlah sabda junjungan mulia Nabi Muhammad, antaranya pada peristiwa perang Khandak. Lantas, UMNO yang menjunjung Islam sejati atau The Authentic Islam, pasti diperkekalkan oleh Allah perjuangannya sampai bila-bila.
PERPADUAN UMMAH
Saudara dan saudari,

168. Sesungguhnya, kita hidup di dunia ini hanya sekali dan sementara saja. Harta, kuasa dan pangkat hanyalah pinjaman dari yang Maha Esa.

169. Dimadah orang juga,...
anak punai, anak merbah,
terbang tinggi buat sarang,
anak sungai kan berubah,
inikan pula hati orang.

170. Jelasnya, insan itu sifatnya, berbolak balik. Secara manusiawinya kita tidak ada yang sempurna. Namun,… perjuangan ini,… perjuangan ini,… mesti kita sempurnakan.
171. Berdiri di atas perkara dan topik ini, teringat saya petikan kata-kata Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulama besar negara dari Pulau Pinang, yang juga Nenda kepada mantan Perdana Menteri Pak Lah Badawi.

172. Sheikh Abdullah Fahim mengatakan, bahawa:
…orang Islam perlu memperbaiki perbalahan sesama mereka,… dan setelah
berdamai,… penyatuan yang terbina itu diharap akan berkekalan.
…Kerana,… itulah satu-satunya senjata yang boleh memperkuatkan
perpaduan orang-orang Melayu dan Islam.

173. Malah, apabila bercakap tentang perpaduan ummah ini juga, teringat saya kepada ayat suci Al Quran, yang dimasyhurkan oleh pujangga Arab bahawa:
…jika kita terlalu suka pada seseorang atau sesuatu kumpulan, maka
berpada-padalah, kelak kita mungkin menjadi terlalu benci pada
seseorang atau kelompok itu.
…sebaliknya, jika kita terlalu benci pada seseorang atau sesatu
kumpulan, maka berpada-padalah juga, mana tahu satu hari kelak,
kebencian itu berubah kepada rasa suka dan cinta kepada mereka.

174. Maka saudara dan saudari,.. kita di dalam UMNO, berasa lega, malah gembira, pabila PAS, kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

175. Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturrahim,… kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya.
Saudara dan saudari,

176. Walaupun demikian,… sekalipun kita begitu mendambakan satu perpaduan ummah, namun, di atas segalanya yang paling utama dan paling mustahak, marilah mendokong usaha untuk kesatuan dan solidariti dalaman UMNO itu sendiri terlebih dahulu.
Saudara dan saudari,

177. Kerana itulah, meskipun hati saya telah terguris dan terluka dengan begitu mendalam, tetapi saya selaku Presiden, mengambil pengajaran daripada agama kita,... saya memilih untuk berjiwa besar.

178. Tambahan lagi, sebagai satu Jemaah dan organisasi, sudah tentu kita mempunyai disiplin tersendiri.

179. Sebagai mana Islam telah meletakkan garis batasan, tiap sesuatu itu ada sempadannya.

180. Makanya,… saudara dan saudari, janganlah kita sesekali melangkaui sempadan dan batasan itu.
Saudara dan saudari,

181. Atas segalanya,… jika Sukarno pernah berkata, berikan daku 10 pemuda, nescaya aku mampu menggegarkan dunia.

182. Saya pula,… Najib Razak, mahukan terdiri dan terbangunnya sepasukan wanita, pemuda dan puteri yang taat lagi setia,… BANTULAH SAYA,… memacu Malaysia menuju puncak hingga ke mercu-nya.

183. Biar mati berkalang tanah, perjuangan UMNO tidak akan dibiar musnah.

184. Gantungkanlah azam dan semangat yang tinggi,… setinggi bintang di langit, biarpun ada yang berpaling tadah,. biar berkali-kali kita ditolak supaya rebah,…there shall be no retreat, no surrender,..no retreat!!! no surrender!!!
185. Demi kepentingan Islam, Melayu, UMNO dan Perpaduan Ummah. Berpaut dan bertawakkal kepada Allah,… perjuangan UMNO ini, kita sempurnakan jua.
Hidup Melayu!
Hidup UMNO!
Hidup Barisan!
Hidup Malaysia
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

No comments: