16 Mar 2017

PENGALAMAN DS HISHAMMUDDIN BOLEH JERNIHKAN HUBUNGAN MALAYSIA-KOREA UTARA





1. Baru-baru ini seluruh dunia tertumpu ke Malaysia berikutan pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara di KLIA2.

2. Ketegasan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan DS Najib telah mengejutkan kuasa nuklear Korea Utara apabila rakyat Korea Utara dihalang meninggalkan Malaysia sehingga siasatan pembunuhan tersebut berjaya diselesaikan.

3. Korea Utara telah membalas ketegasan Malaysia dengan mengenakan sekatan yang sama ke atas rakyat Malaysia di Korea Utara.

4. Kemelut ini masih tidak selesai sepenuhnya kerana 3 rakyat Korea Utara yang dicari oleh PDRM masih bersembunyi di dalam Kedutaan Korea Utara.

5. Kerajaan Malaysia sepatutnya menggunakan kelebihan DS Hishammuddin yang memiliki aura diplomatik yang kuat di peringkat antarabangsa. 

6. Dahulu, semasa insiden MH370, DS Hishammuddin membuktikan kemahiran beliau berhadapan dengan wartawan dan delegasi asing. DS Hishammuddin berjaya menenangkan dunia dengan kebijakan beliau menjawab dengan berkesan isu-isu yang dibangkitkan diplomat dan wartawan asing ketika itu.

7. Di peringkat dunia, DS Hishammuddin amat dikenali mempunyai diplomatic aura dengan kuasa-kuasa besar dunia khususnya USA, China, Jerman, Peranchis, Australia dan Great Britain.

8. Rakan-rakan di luar negara menghantar mesej kepada saya kenapa tidak hantar DS Hishammuddin ke Pyongyang untuk mendengar apa kemahuan mereka dan untuk menyampaikan prinsip Malaysia dalam kes pembunuhan tersebut.

9. Tidak semua Menteri boleh melakukannya, tetapi DS Hishammuddin boleh kerana pengalaman dan hubungan beliau dengan ketua-ketua angkatan tentera di Asia Pasifik dan Asia Timur Jauh adalah baik. Kebetulan beliau juga adalah Menteri Pertahanan, sudah pasti banyak kelebihan yang beliau boleh gunakan untuk menyelesaikan kemelut ini.

10. Membiarkan kemelut dan insiden ini berterusan bukan satu perkara yang bijak, implikasi keselamatan, ekonomi dan politik akan merosakkan banyak peluang Malaysia untuk melangkah lebih jauh.

11. Saya berharap, kerajaan Malaysia memberi kepercayaan kepada DS Hishammuddin menyelesaikan isu ini. Dunia luar sedang memerhati kita, Malaysia perlu keluar dari kemelut dengan bijaksana. Pengalaman DS Hishammuddin di peringkat global dan keselamatan serantau boleh digunakan untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kredibel, dihormati dan berdaulat.

Salam dari jauh,

A.Azharri S.
Washington DC.
Mac 16, 2017.

No comments: